May 21, 2016

Terbabas rempuh tiang telefon

Jenazah Muhammad Syuhaimi Ismail (gambar kecil) diselimut dengan kain di lokasi kejadian. - Foto OMAR OSMAN

Omar Osman
am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang remaja lelaki maut akibat terjatuh selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal rakan di Jalan Kampung Sungai Yu, Kota Kuala Muda, di sini, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Muhammad Syuhaimi Ismail, 15, yang gagal mengawal motosikalnya, terbabas sebelum merempuh tiang telefon dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kota Kuala Muda dengan menunggang motosikal bersama beberapa rakan.

"Bagaimanapun setiba di tempat kejadian, berlaku pergeseran dengan motosikal rakannya menyebabkan mereka terbabas sebelum motosikal mangsa merempuh tiang telefon.

“Mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya cedera di kaki dan tangan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 15 Mei 2016


Pelajar maut terbabas

KOTA KUALA MUDA - Gara-gara bergesel dengan motosikal rakan, seorang pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda, di sini, maut, selepas terbabas dan melanggar tiang telefon, petang semalam.

Dalam kejadian, 2.45 petang itu, mangsa Muhd Syuhaimi Ismail, 15, dari Kampung Pulau Sayak, di sini, maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian itu berpunca daripada pergeselan antara motosikal dinaiki mangsa dan motosikal rakannya.

“Motosikal yang ditunggangi mangsa bergerak beriringan dengan motosikal rakannya dari sekolah yang sama menuju ke arah Pulau Sayak.

“Tiba di tempat kejadian, kedua-dua motosikal ini dipercayai bergesel akibat hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya.

Beliau berkata, akibatnya, rakan si mati, Muhd Fatihah Abu Bakar, 16, merupakan pelajar tingkatan empat dari sekolah yang sama mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki akibat terjatuh di bahu kanan jalan.

“Manakala, Muhd Syuhaimi terbabas ke kiri dan melanggar tiang telefon lalu jatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Difahamkan, dua pelajar ini tidak mempunyai lesen dan tidak memakai topi keledar," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

Wartawan Sinar Harian
16 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment