May 21, 2016

Temui ajal di Gunung Rajah

Mayat Junaidi diusung sejauh dua kilometer turun dari Gunung Rajah sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

BENTONG - Seorang lelaki maut ketika menjala ikan di Gunung Rajah, di sini bersama tiga rakannya kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang dikenali sebagai Md Azali pada jam 5.05 petang.

Menurutnya, ketika pasukan keselamatan tiba di tempat kejadian pada jam 8 malam, mangsa, Junaidi Angik, 41, sudah disahkan meninggal dunia.

“Kita terpaksa mengambil masa agak lama untuk ambil mangsa di tebing sungai memandangkan keadaan basah dan licin selepas hujan.

“Mangsa dibawa keluar menggunakan pengusung sejauh dua kilometer dan kemudian dipindahkan ke dalam kenderaan dan dibawa keluar ke base camp sejauh empat kilometer," katanya kepada  pemberita, di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan seramai 39 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta polis dengan dibantu Smart Force

Majlis Perbandaran Bentong dan orang awam.

Beliau berkata, operasi bermula pada 6.15 petang kelmarin di lokasi mangsa mula mendaki.

"Kita terpaksa ambil masa bawa mangsa turun kerana tak tahu di mana lokasi sebenar mangsa. Sebaik berjaya dibawa keluar, mangsa dan kesemua pendaki dihantar ke Hospital Bentong.

“Operasi ini mengambil masa empat jam dan kami berjaya menamatkannyapada jam 9.40 malam semalam (kelmarin),” katanya.

Wartawan Sinar Harian
17 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment