May 21, 2016

Tak terlupa pandangan sayu cucu

SAADIAH (kiri) sangat rapat dengan arwah cucunya (kanan) kerana memeliharanya sejak berusia dua bulan. FOTO Mohd Helmi Mahmud

Hadzlihady Hassan dan Mohd Hilmi Mahmud
am@hmetro.com.my

Balik Pulau: "Ketika pertemuan kali terakhir, arwah hanya memandang saya dengan sayu tanpa menoleh ke tempat lain."

Begitulah kata-kata Saadiah Abu, 80, menceritakan mengenai cucu kesayangannya, Mohd Nizam Ahmad Basrah, 28, yang maut ditembak di Hatyai, Thailand, 3 pagi tadi.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah pada 5 Mei lalu dan cucunya itu bekerja sebagai pekerja kontrak di Singapura.

Menurutnya, tiga hari lalu dia juga sangat teringatkan arwah cucunya itu dan terlalu rindukannya.

"Arwah bekerja di Singapura sejak Januari tahun ini dan dia mempunyai empat lagi adik beradik tiri hasil perkahwinan bapanya dengan ibu tiri.

"Bapa dia (arwah) beritahu saya pagi tadi yang cucu sudah mati kena tembak di Siam," katanya.

Menurutnya, cucunya itu sangat rapat dengannya kerana dia memelihara arwah sejak berusia dua bulan selepas ibu bapanya bercerai.

"Saya memeliharnya sejak kecil namun saya sangat sedih selepas menerima berita kematiannya yang ditembak ketika berada di Thailand.

"Bagaimanapun, saya tetap reda dengan pemergian arwah kerana mungkin itu sudah ajalnya," katanya yang sebak ketika menceritakan kejadian itu di rumahnya di Kuala Sungai Pinang, di sini, hari ini.

Mohd Nizam ditemui mati ditembak ketika menunggang motosikal ke hotelnya di pekan Hatyai di Thailand 3 pagi, tadi.

Mayat mangsa ditemui terbaring dengan kesan tembakan di dada dan punggung di Jalan Phadungpakdee.

myMetro 16 Mei 2016


Lelaki Malaysia mati ditembak di Hatyai

Hatyai: Seorang lelaki warga Malaysia mati ditembak ketika sedang menunggang motosikal menuju sebuah hotel di pekan Hatyai kira-kira 3.30 pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Hatyai Kol Khittichai Sankha-thavorn, mangsa dikenali sebagai Mohd Nizam Ahmad Basrah, 28, dari Pulau Pinang.

"Mayat mangsa ditemui terbaring dengan kesan tembakan di dada dan punggung di Jalan Phadungpakdee," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, polis menemui dua kelongsong peluru 9mm di lokasi kejadian dan sedang memeriksa motosikal ditunggang mangsa serta rakaman kamera litar tertutup berhampiran bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Hatyai untuk dibedah siasat.

myMetro 16 Mei 2016


Mangsa tembak di Hatyai selamat dikebumikan

BALIK PULAU - Jenazah rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Hatyai, Thailand Isnin lepas selamat dikebumikan di tanah perkuburan masjid Sungai Pinang, di sini 1.45 pagi tadi.

Mohd Nizam Ahmad Basrah, 28 dilaporkan ditembak mati di Jalan Phadungpakdee, Hatyai.

Bapa Nizam, Ahmad Basrah Awang, 49, dan keluarganya telah pergi ke Hatyai petang semalam untuk mengambil jenazah dari hospital di sana.

"Saya amat berterima kasih dengan Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa di sana yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membawa balik jenazah anak saya," katanya sambil menahan sebak.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan kepadanya dalam menghadapi keadaan itu.

Kali terakhir Ahmad Basrah melihat anaknya ialah pada bulan lepas semasa arwah pulang untuk melawat neneknya.

"Saya rapat dengannya tetapi kini saya perlu menerima segala apa yang berlaku dengan hati yang terbuka, katanya.

Nizam yang tinggal bersama neneknya sejak kecil selepas Ahmad Basrah menikah semula, mempunyai empat orang lagi adik-beradik.

Saadiah Abu, 80 yang telah membesarkan Nizam sejak berusia dua bulan selepas ibunya meninggal dunia, berkata dia kehilangan permata dalam hidupnya.

"Tiada perkataan yang dapat menerangkan betapa sunyinya saya rasa sekarang kerana hanya kami berdua sejak dahulu.  Kini dia telah tiada, saya terasa kehilangannya," katanya dalam linangan air mata.

Nizam memberitahu neneknya bahawa dia telah bekerja dengan seorang rakyat Malaysia berpangkat Datuk di Singapura awal tahun ini tetapi tiada dalam kalangan keluarganya yang menyedari pemergiannya ke Hatyai atas sebab tertentu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah yang melawat kediaman arwah mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung dan Konsulat Malaysia di Thailand yang membantu mempercepatkan proses membawa pulang jenazah.

Polis Hatyai menemukan mayat Nizam yang ditembak mati semasa menunggang motosikal ke hotel penginapannya dan polis kini sedang mengenal pasti pemilik motosikal dan meneliti rakaman kamera litar tertutup diperoleh daripada premis berdekatan untuk mengenal pasti pembunuh. - Bernama

18 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment