May 23, 2016

Tak terdetik serah zuriat


WAN Ahmad Zairi menyampaikan sumbangan kepada Nordin.

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Meskipun hidup saya susah dan mempunyai ramai anak, tidak pernah terdetik di hati untuk menyerahkan mereka kepada orang lain,” kata Nordin Sayuti, 58.

Pasangan suami isteri Nordin Sayuti dan Wan Rosilawati Wan Salleh, 42 ,dikurniakan lapan cahaya mata iaitu Erni Nurdiana, 19, Asra Nor Syafikah, 16, Neky Nor Suzziati, 15, Ma’Adirosama Ladin, 14, Mohd Amirul Barshah, 12, Muhaimin Nasrul Musataqim, 9, Nur Alia Balqis, 5, dan Arafah Nur Ain Najiha, 3.

Lima daripada anak mereka masih bersekolah iaitu Asra Nor Syafiqah menuntut di Kolej Vokasional Pasir Mas dalam jurusan Pengajian Perniagaan, Neky Nor Suzziati bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng, Ma’Adirosama Ladin, Mohd Amirul Barshah dan Muhaimin Nasrul Musataqim masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sireh.

Nordin berkata, walaupun kehidupan mereka sekeluarga daif, dia dan isteri tetap mengutamakan pelajaran anak kerana tidak mahu mereka tercicir.

Katanya, menerusi pelajaran, dia berharap anaknya mampu mengubah nasib keluarga di masa depan.

“Pendapatan saya sebagai buruh kasar tidak menentu, kadangkala dapat RM60 sehari, itupun bergantung kepada tahap kesihatan. Isteri juga membantu mengambil upah menjahit pakaian.

“Sebagai ayah dan ketua keluarga, saya inginkan yang terbaik untuk isteri dan anak-anak, namun kesusahan hidup menyebabkan anak sulung, Erni Nurdiana terpaksa mengorbankan masa depan demi kepentingan adiknya,” katanya selepas menerima kunjungan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) Third Force Wan Ahmad Zairi Wan Ibrahim di Kampung Lembah Sireh, di sini, semalam.

Sementara itu, Wan Ahmad Zairi yang juga seorang guru berkata, pada mulanya dia tidak mengetahui kesusahan dialami keluarga ini sehinggalah Asra Nor Syafika yang juga pelajarnya terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari sekolah bersama bapanya.

myMetro 23 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment