May 6, 2016

Tak sempat raya bersama

Roziyah bersama tiga anaknya yang masih kecil tidak dapat menahan kesedihan selepas suaminya maut dalam kemalangan di Sungai Terap, kelmarin.

SABAK BERNAM – "Kami dah rancang nak suruh mak jahit baju, tapi impian nak sambut puasa dan raya bersama suami tak kesampaian," kata isteri kepada Allahyarham Ahmad Mustakim Mohd Ngail, 37, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Terap, kelmarin.

Roziyah Anas, 26, berkata, dia dan tiga anaknya iaitu, Nur Khalisha, 6, Nur Farisha, 3 dan Nur Batrisha, 1, memang sudah merancang menggayakan pakaian dengan tema warna perak pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Pemergian arwah suami amat memberi kesan kepada kami sekeluarga, tak sempat nak puasa dan raya sama-sama. ALLAH lebih sayangkan dia," katanya.

Menurutnya, suaminya sempat menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 11.59 malam dan berharap dapat bertemunya semula selepas pulang menghantar seorang kenalannya ke KLIA.

“Saya sempat pesan pada arwah suami supaya hati-hati ketika memandu. Tak sangka mesej terakhir suami kata jumpa saya nanti jadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, sebelum suaminya itu ke KLIA, arwah yang bekerja sebagai Penguatkuasa Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam sempat mengajaknya dan anak-anak ke rumah ibunya di Taman Cahaya Sungai Besar.

“Arwah tanya saya nak pergi ke rumah mak tak? Kalau nak pergi dia nak hantarkan ke sana.

“Tapi saya kata dengan arwah, saya dan anak-anak nak tinggal di rumah dan dia kata kalau macam tu tak apalah, jaga diri dan anak elok-elok,” katanya.

Roziyah memberitahu, dia hanya mengetahui tentang kematian suaminya itu kira-kira jam 10.30 pagi selepas keluarga arwah suaminya memaklumkan tentang kejadian itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

“Mulanya mak mertua telefon tanya Akim (Ahmad Mustakim) pergi mana?...saya cakap dia ke KLIA dengan Safiq. Lepas tu mak mertua beritahu, Safiq meninggal sebab kemalangan.

“Masa tu kami tak tahu sama ada Akim meninggal ke tak hinggalah abang ipar maklumkan bomba sahkan mayat ketiga ditemui dalam kereta remuk itu ialah mayat suami. Seluruh badan saya menggeletar bila dapat tahu suami meninggal dunia,” katanya.

Malah katanya, perasaannya sebak setiap kali mengenangkan kata-kata suaminya itu yang memintanya mengambil lesen kereta untuk memudahkannya bergerak jika suaminya itu tiada suatu hari nanti.

“Dia cakap cepat ambil lesen, kalau nak ke mana-mana senang...Kereta (Produa) Kancil ni jangan jual, nanti kak long (Nur Khalisha) boleh guna bila dah besar nanti,” katanya.

Sinar Harian semalam, melaporkan Ahmad Mustakim dan dua lagi rakannya iaitu pemandu kereta Proton Waja, Mohamad Safiq Hasan Adli, 22, dan penumpang belakang, Mohd Mohyiddin Mohd Subari, 50, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh lori di laluan bertentangan.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment