May 27, 2016

Susuk kecil pikul guni pucuk ubi

MOHAMAD Arif (belakang) bersama bapanya memikul guni berisi pucuk ubi untuk dijual di restoran di Miri.


myMetro

Miri: Dari jauh kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berjalan sambil memikul seguni pucuk ubi yang saiznya hampir sama dengan badannya di persimpangan Bukit Kanada, di sini.

Hampir setiap hari, kanak-kanak itu bersama seorang lelaki akan memetik pucuk ubi di kawasan hutan di Bukit Kanada sebelum pergi ke restoran berhampiran untuk menjualnya.

Tertanya-tanya dengan kehidupan kanak-kanak itu, wartawan Harian Metro mendekatinya dan menyelami kesusahan dihadapi kanak-kanak itu sehingga memaksanya bekerja bagi mencari wang membantu keluarga.

Mohamad Arif Afirul Abdullah tidak pernah dipaksa keluarganya untuk bekerja tetapi kesusahan dialami keluarga terutama selepas kematian bapanya, dua tahun lalu menyebabkan kanak-kanak itu nekad untuk mencari wang sendiri.

Ketiadaan sijil kelahiran kerana mendaftar lewat menyebabkan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu tidak pernah bersekolah, malah lima daripada 10 adik-beradiknya turut menghadapi masalah sama.

Ibu Mohamad Arif, Megawati Mohamad Rosni, 40 berkata, dia tidak pernah memaksa anak ketujuh daripada 10 beradik itu bekerja tetapi Mohamad Arif melakukannya atas keinginan sendiri.

“Saya pernah melarang tetapi dia tetap bertegas dan mengatakan wang hasil jualan sayur itu akan digunakan untuk membeli makanan ringan selain membantu adik-beradik lain,” katanya.

Mereka yang mahu memberikan bantuan boleh membuat transaksi wang ke akaun Ambank milik Megawati, 8881003746455.

myMetro 27 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment