May 26, 2016

‘Suami saya nyaris maut’

Kereta suami Rozanah memasuki gaung setelah terbabas sendiri ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, Ahad lalu

Norhafizan Zulkifli

JERANTUT - Seorang wanita mendakwa suaminya nyaris maut setelah terlibat dalam satu kemalangan ketika memandu di laluan antara Felda Padang Piol ke Jerantut Feri, Ahad lalu.

Rozanah Kassim, 42, berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada batu kerikil yang bertaburan di atas jalan menyebabkan kereta dipandu suaminya, Khalid Busu, 48, terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di lokasi itu pada kira-kira jam 6.45 pagi.

Menurutnya, suaminya yang dalam perjalanan ke tempat kerja bagaimanapun terselamat apabila hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital.

Rozanah berkata, beberapa pengguna jalan utama ke Taman Negara Kuala Tahan itu turut mengalami kemalangan.

“Suami saya kena (kemalangan) sebelah pagi. Sebelah petangnya pula saya dapat tau ada lagi sebuah kereta terbalik.

“Sebelum ini pun ada berlaku kemalangan, tapi mujur tiada yang maut. Kesemuanya berpunca dari batu kerikil yang bertaburan di selekoh-selekoh jalan,” katanya.

Sementara itu, kakaknya, Rozliah Kassim, 46, berkata, sepanjang minggu lalu, kira-kira enam kenderaan kemalangan di jalan terbabit.

Katanya, batu kerikil dari bahu jalan yang dilebarkan di laluan berselekoh tidak diurus dengan baik, menyebabkan ia bertaburan di atas laluan apabila kenderaan berat seperti lori balak melaluinya.

Menurutnya, dia kesal dengan kerja-kerja melebarkan bahu jalan di situ yang didakwa tidak seperti sepatutnya sehingga mengakibatkan masalah dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

“Kalau kita tengok, jalan itu hanya diletakkan dengan tanah kemudian ditabur dengan batu kecil-kecil (kerikil). Tak dibuat dengan cara elok sebab bila lori balak lalu, habislah batu berterabur ke tengah,” katanya.

Adik Rozanah, Norhalinawati Kassim, 38, pula berkata, kerja-kerja melebar bahu jalan berselekoh itu bermula sejak tahun lalu dan sepanjang tempoh itu berlaku beberapa kemalangan di jalan terbabit.

Katanya, kebanyakan kemalangan berpunca daripada kenderaan dipandu terbabas sendiri dan ia berkemungkinan jalan tidak rata akibat batu kerikil itu.

Sementara itu, seorang peneroka Felda Padang Piol, Hassan Mahmud, 64, berkata, anaknya pernah terlibat dalam kemalangan di jalan sama, tahun lalu.

Katanya, anaknya bersama suami dan dua cucunya mengalami kecederaan yang agak serius.

Bagaimanapun, selepas kerap berlaku kemalangan di lokasi terbabit, kerja baik pulih jalan-jalan terlibat sedang giat dilakukan pihak berkaitan, kelmarin.

Khatijah Busu, 48, berkata, dia berharap kerja-kerja baik pulih jalan pada kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.

“Saya minta kerja-kerja yang dilakukan itu tidak hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Tak kemas dan kembali rosak bila lori balak lalu.

“Harap kali ini lebih elok dan kejadian kemalangan tidak lagi berulang. Jangan tunggu ada kematian baru hendak buat betul-betul,” katanya.

Sinar Harian
26 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment