May 21, 2016

Suami isteri pukul, bogel pekerja

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan suami isteri yang didakwa memukul tiga pekerja mereka di sebuah hostel di Fortune Perdana, Kepong, pada 8 Mei lalu, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kedua-dua suspek itu menjalankan perniagaan dalam talian, menghilangkan diri selepas kejadian.

"Polis menerima laporan daripada seorang wanita, pekerja suspek berusia 28 tahun pada 9 Mei lalu, mendakwa dia dan dua rakan sekerja wanita dipukul

majikan mereka menggunakan kayu sehingga cedera.

"Suspek turut didakwa bertindak kejam dengan merakam gambar bogel mangsa dipercayai untuk dieksploitasi," katanya di sini, hari ini.

Munusamy berkata pasangan suami isteri itu dikatakan memukul ketiga-tiga mangsa kerana menuduh mereka mencuri wang syarikat sebanyak RM18,000.

Beliau meminta kedua-dua suspek tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - Bernama

myMetro 17 Mei 2016


Pasangan pukul, bogel pekerja serah diri

Fardy Bungga
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suami isteri yang dilaporkan memukul dan merakamkan gambar bogel tiga pekerja wanita mereka di asrama pekerja di Fortune Perdana, Kepong sudah menyerah diri kepada polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pasangan berkenaan tampil menyerah diri masing-masing pada 4.30 petang dan 8 malam tadi.

Katanya, pasangan itu akan ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Semalam, Harian Metro melaporkan mangsa berusia 28 tahun dan dua lagi rakan sekerjanya dipukul selain dibogelkan serta dirogol beberapa individu dipercayai rakan suspek.

Mangsa mendakwa mereka dituduh menyeleweng wang syarikat sebanyak RM18,000 sebelum dikurung dan didera pasangan berkenaan.

myMetro 17 Mei 2016


Majikan didakwa sembur racun, renjat elektrik

Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan mencederakan dua pekerjanya menggunakan penyembur racun serangga dan alat renjatan elektrik, dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Tan Hiang Lian, 34, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Lee Seat Yee, 28, dan Lim Mei Mei, 34, di Blok B-7-22A Fortune Avenue, Jalan Metro Perdana Kepong, Sentul dekat sini, pada jam 6.30 petang, 8 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seskyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan sebelum menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula, tertuduh dan teman wanitanya, Tan Joo Lee, 29, mengaku tidak bersalah merompak dan mencederakan seorang lagi pekerjanya.

Mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan rompak dan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Tricia Tan Yee Yee, 24, dengan memindahkan wang daripada akaun mangsa secara atas talian (online) tanpa kerelaannya di tempat dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin setiap seorang berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang kacau ganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan menetapkan 28 Jun untuk sebutan kes.

myMetro 23 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment