May 21, 2016

Siti di mana kau?

SITI Mariam yang dilaporkan hilang pada 18 Mei lalu.


Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

Maran: Kira-kira seminggu lagi, dia dijadualkan menjadi ‘raja sehari’ dan bersanding di atas pelamin dengan gadis pilihan selepas mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.

Segala persiapan sudah dilakukan untuk hari bahagia itu termasuk kad jemputan diedarkan kepada saudara-mara dan sahabat handai bagi meraikan detik bersejarah itu.

Namun, majlis pada 28 Mei ini di FELDA Jengka 17, Maran, mungkin tidak menjadi kenyataan apabila tunangnya, anak kedua daripada tiga beradik berusia 18 tahun ‘ghaib’ pada 18 Mei lalu.

“Saya bingung dan buntu apabila tunang, Siti Mariam Rosli hilang entah ke mana apatah lagi tarikh perkahwinan kami tinggal kira-kira seminggu saja.

“Saya bersama keluarga bakal mentua puas berikhtiar mencarinya namun hampa,” kata Khairul Nizam Husain, 33, yang juga peniaga sebuah restoran dan menetap di FELDA itu.

Dia menyedari kehilangan Siti Mariam ketika ke rumah bakal isterinya Rabu lalu untuk menjemput gadis berkenaan ke tempat kerja di restoran itu.

“Bakal isteri bekerja di restoran milik saya, namun dia tiada di rumah pada hari itu.

“Menyedari kehilangannya, saya bersama ahli keluarga bakal mentua menjalankan gerakan mencari di sekitar Bandar Pusat, Jengka, dan menemui motosikal milik Siti Mariam ditinggalkan di tepi jalan.

“Kali terakhir saya menghubunginya, kelmarin dan dia meminta berhenti mencarinya sebelum talian telefon bimbit dimatikan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khairul Nizam mendakwa, dia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang perhubungan mereka, malah segala kelengkapan dari segi wang hantaran mencukupi selain set pelamin siap dipasang di rumahnya.

“Saya dimaklumkan keluarga bakal mentua, Siti Mariam kali terakhir dilihat di rumahnya memakai jeans biru dan berbaju belang kelabu serta menggalas beg sandang.

“Saya yakin dia berada di Jengka, Maran atau Temerloh.

“Saya menolak andaian bakal isteri sudah menaiki bas ke Sungai Petani, Kedah seperti tersebar dalam aplikasi WhatsApp,” katanya.

Susulan kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Bandar Pusat, Jengka, jam 12 tengah hari, kelmarin.

“Saya minta jasa baik orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui lokasi Siti Mariam menghubungi saya di talian 012 3262569,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi, ketika dihubungi, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan pihaknya mengklasifkasikan sebagai kes orang hilang.

myMetro 21 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment