May 6, 2016

Serpihan dipercayai milik helikopter hilang dijumpai

Imej serpihan yang di percayai pesawat terlibat di jumpai oleh Pasukan SAR 930 di Sebuyau. Pengesahan akan dibuat oleh DCA. - Foto ihsan Twitter bombaJBPM

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah menemui serpihan pesawat dipercayai milik helicopter Eurocopter AS350 yang dilaporkan hilang, petang semalam.

Menurut beliau maklumat penemuan itu diterima pada jam 9.50 pagi tadi.

"Sebahagian pintu, dinding pesawat dan beberapa bahgian lain telah dijumpai. Pasukan SAR akan berusaha mencari badan utama helikopter tersebut," katanya pada sidang media.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

Dalam pada itu, Najib berkata, kawasan penemuan bersebelahan Sungai Batang Lupar dan ini menyukarkan operasi namun segala aset yang ada akan digunapaki dalam operasi ini.

Helikopter yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suami, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.

Helikopter itu berlepas dari Betong, kira-kira 250km dari sini pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.

"Setakat ini kita tidak boleh buat sebarang kesimpulan yang kita sudah kehilangan mereka," katanya semasa ditanya sekiranya ini bererti semua mereka sudah tiada lagi.

Perdana Menteri berkata semua aset yang berkaitan sudah diarah melancarkan operasi dan menyelamat "semaksimum mungkin" di sekitar kawasan berkenaan.

Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan bahawa kawasan serpihan itu ditemui amat luas, yang mungkin akan menyukarkan operasi mencari dilancarkan.

"Namun segala usaha dan aset yang dapat kita guna pakai dalam operasi ini kita akan mengerahkan semaksimum mungkin," katanya.

Beliau yang menganggap kejadian itu sebagai satu tragedi kemalangan yang tidak diduga, seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak berkaitan yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dengan cukup pantas.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016


Mayat wanita ditemui dekat lokasi serpihan helikopter

Mangsa pertama wanita telah ditemui tidak jauh dari lokasi serpihan dijumpai 12 tengahari tadi. - Foto ihsan Twitter bombaJBPM

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak mengesahkan penemuan mayat wanita berdekatan lokasi serpihan helikopter ditemui, sebentar tadi.

Namun, Pengarahnya, Nor Hisham Mohamad menafikan maklumat dua mayat ditemui setakat ini seperti yang tersebar di media sosial.

“Setiap minit kami berhubung dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan setakat ini hanya satu mayat wanita yang ditemui.

“Ada maklumat jadi viral yang mengatakan ada dua mayat ditemui. Itu tidak benar,” katanya dipetik melalui Buletin Awani, sebentar tadi.

Menurutnya, mayat wanita itu ditemui di tebing hulu 15 kilometer Sungai Batang Lupar kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Pencarian mangsa lain pula tertumpu pada radius empat kilometer daripada mayat mangsa pertama ditemui.

“Kita dalam proses utk membawa balik mayat ke jeti untuk pengesahan polis dan hospital. Kita jumpa mayat wanita itu tersangkut di tebing sungai,” katanya.

Pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pasukan SAR telah menemui serpihan pesawat dipercayai milik helicopter Eurocopter AS350 di kawasan bersebelahan Sungai Batang Lupar.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

Helikopter yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suami, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016


Mayat wanita ditemui tertiarap di tebing sungai

Anggota Bomba dan Penyelamat mengusung mayat mangsa pertama dijumpai di jeti Feri Sebuyau hari ini. - Foto Bernama

KUCHING - Mayat wanita mangsa nahas helikopter ditemui dalam keadaan tertiarap di tebing sungai Batang Lupar tengah hari tadi, kata Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 2 Sarawak Azman Julaihi.

Beliau yang merupakan komander operasi mencari dan menyelamat (SAR) JBPM berkata mayat wanita itu ditemui berhampiran serpihan pesawat.

"Kita berharap semua mangsa dijumpai secepat mungkin," katanya.

Sekarang radius operasi SAR meliputi 150km melibatkan lebih 50 anggota daripada agensi penyelamat APMM, marin, tentera dan helikopter JPAM dari Sibu, Betong, Sri Aman serta Kuching.

"Unit scuba akan cuba buat selaman selepas ini. Pencarian semua tertumpu di hulu Sungai Batang Lupar," katanya.

Azman berkata, pihaknya turut meminta bantuan daripada nelayan untuk membantu operasi SAR. - Bernama

6 Mei 2016


Mayat wanita ditemui sah Noriah Kasnon

Noriah Kasnon.

KUCHING - Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Abidin Supardi, 57, mengesahkan mayat pertama nahas helikopter yang dijumpai adalah Datuk Noriah Kasnon.

Memetik laporan portal Harian Metro, Abidin berkata, mayat dikenal pasti menerusi pakaian dan barang kemas yang dipakai Noriah.

"Saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah melihat mayat itu dan memang betul Datuk Noriah.

"Saya bersimpati dengan apa yang berlaku walaupun anak-anaknya masih belum melihat jenazah ibu mereka," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Semalam, helikopter yang membawa Noriah dan suaminya, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar berlepas dari Betong, kira-kira 250km dari sini pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

Al-Fatihah.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016


Gurauan terakhir MP Kuala Kangsar sebelum naik pesawat


Gambar terakhir Mohd Fauzi (kiri) bersama Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mohammad Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad ketika menghadiri satu majlis di Betong, Sarawak.

RIDAUDDIN DAUD

BUKIT CHANDAN - "Saya sempat melambai kepada Datuk sebelum beliau berlepas menaiki helikopter ke Kuching dan beliau membalasnya. Itulah kali terakhir saya melihat Datuk sebelum insiden itu terjadi."

Demikian kata Naib Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar, Mohd Fauzi Mohaidin ketika menceritakan detik terakhir beliau bersama Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mohammad Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad di Betong.

Menurutnya, Wan Mohammad Khair-Il sebelum itu juga tidak makan banyak dalam majlis di situ dan sempat bergurau mengatakan beliau enggan helikopter menjadi berat.

"Datuk ada bergurau dengan kami mengatakan dia tidak mahu makan banyak sebab takut nanti berat, buat helikopter tidak boleh terbang.

"Kami ketawa saja mendengar gurauan Datuk pada waktu itu, tidak sangka pula insiden sebegini menimpa beliau.

"Buat masa ini, tiada pengesahan rasmi berhubung keadaan Datuk. Kami harapkan beliau dan beberapa penumpang lain selamat," katanya.

Tambah Mohd Fauzi, beliau menyedari keadaan Datuk sedikit lain ketika menghadiri majlis di Betong apabila Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu tidak ceria seperti biasa.

"Memang nampak Datuk lain pada waktu itu namun saya tidak fikir lain kerana mungkin Datuk penat, jadi mungkin itu punca beliau kelihatan kurang ceria.

"Sekarang saya cuma berharap Datuk dalam keadaan selamat. Kami di sini masih menunggu perkembangan semasa insiden ini," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Fauzi memaklumkan Datuk sepatutnya menaiki helikopter lain namun terpaksa menukar helikopter disebabkan pemandunya tiada.

"Datuk ada penerbangan ke Kuala Lumpur jam 9.00 malam semalam (Khamis), jadi beliau mahu cepat. Datuk Noriah Kasnon ajak Datuk naik dengan beliau dan Datuk pun setuju," katanya.

Beliau turut meminta semua ahli Umno dan penduduk Kuala Kangsar mendoakan keselamatan Datuk dan penumpang lain dalam helikopter tersebut.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016


'Mak, tolong doakan perjalanan selamat'

GAMBAR terakhir Ahmad Sobri Harun yang dihantar kepada keluarganya melalui WhatsApp. FOTO Bernama

Zaid Salim
am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Keluarga Ahmad Sobri Harun, 26, pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon mengharap keajaiban dan berdoa supaya anak keempat daripada lima beradik itu ditemui dalam keadaan selamat.

Adik Ahmad Sobri, Siti Noriah, 22, berkata, dia menyedari berita menimpa abangnya selepas menerima panggilan daripada pegawai kementerian ketika menonton berita nahas itu di televisyen.

"Kami sekeluarga tidak menyangka berita yang kami dengar itu turut membabitkan anggota keluarga kami," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Siti Noriah berkata, sebelum menaiki helikopter, abangnya ada menghubungi ibu meminta keluarga mendoakan keselamatannya ketika bertugas di Sarawak.

"Mak, tolong doakan perjalanan saya ke Sarawak nanti selamat," begitu permintaan Ahmad Sobri ketika menghubungi ibunya, petang semalam.

Menurutnya, mereka tidak mengesyaki kejadian buruk menimpa kerana abangnya yang juga anak keempat daripada lima beradik selalu menelefon keluarga memaklumkan dan meminta restu setiap kali mengikut majikannya bertugas di luar Kuala Lumpur.

Siti Noriah berkata, kedua ibu bapanya sudah menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur petang semalam bagi mengikuti perkembangan dengan lebih dekat.

myMetro 6 Mei 2016


Kronologi nahas RCP2868

FOTO Arkib NSTP

Harian Metro Digital
am@hmetro.com.my

BERIKUT adalah video serta grafik berkenaan kejadian nahas helikopter RCP2868 yang membabitkan enam orang kenamaan di Kuching, Sarawak, 5 Mei lalu.

Mangsa yang terkorban adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, manakala suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad masih belum ditemui.

Selain Noriah, turut menaiki pesawat malang itu adalah Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang semalam.

Jasadnya ditemui di kawasan pencarian awal helikopter terbabit di Sungai Batang Lupar dekat Sebuyau, tengah hari semalam.

Nasib mangsa yang lain bagaimanapun setakat ini belum diketahui.

myMetro 7 Mei 2016


'Sah abang saya'

Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Kuching: Mayat keempat yang tiba di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 6.20 petang disahkan sebagai Asmuni Abdullah, 52.

Perkara itu disahkan adiknya, Zulkefli Abdullah, 46, yang ditemui di perkarangan Unit Forensik, HUS, malam tadi.

Katanya, hasil DNA yang dibuat menunjukkan ia sepadan dengan dirinya dan dia dimaklumkan mayat tersebut adalah abangnya.

"Saya sedih dengan kehilangan abang tercinta, namun semua ini adalah takdir.

"Selain DNA, berdasarkan kasut dan baju yang dipakai, ia sah adalah abang," katanya.

Asmuni terkorban dalam perjalanan menaiki helikopter jenis AS350/RP C6828 dari Betong ke Kuching, Khamis lalu apabila ia terhempas di Sungai Batang Lupar.

Turut terkorban adalah isterinya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) Datuk Noriah Kasnon, Ketua Setiausaha MPIC Datuk Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun.

Satu lagi identiti mangsa belum dikenal pasti, manakala, satu masih belum ditemui.

myMetro 7 Mei 2016


Sempat makan tengah hari bersama

Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Sepang: "Kali terakhir kami bertemu bapa pada Jumaat minggu lalu semasa dia menghadiri tugasan di luar negara. Bapa datang ke rumah dan kami sempat makan tengah hari bersama," kata Wan Emir Astar, 26, anak sulung Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad.

Wan Emir serta dua adiknya, Wan Imar Izzat, 25, dan Wan Muhammad Amar, 19, bertemu bapanya di London baru-baru ini sewaktu Wan Khair-Il Anuar mewakili menteri ke luar negara.

Anak sulung itu berkata, bapanya datang ke rumah di London dan banyak perkara dibualkan termasuk soal pelajaran dan peperiksaan selain memberi nasihat kepada mereka.

"Kami menghabiskan masa bersama dari pagi dan sehinggalah kali terakhir melihatnya di lapangan terbang selepas menghantarnya," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Mereka tiba di tanah air dari London jam 5.30 petang dan berlepas ke Kuching, Sarawak kira-kira jam 7.30 malam hari ini.

Sementara itu, Wan Imar Izzat berkata, pada mulanya dia mengetahui berita kehilangan helikopter menerusi media sosial dan cuba mencari berita sahih mengenai perkara itu, namun tidak ditemui.

"Bagaimanapun, seorang rakan menelefon saya memaklumkan kejadian itu dan pada waktu itu saya terkelu dan tidak tahu mahu cakap macam mana.

"Kemudian, saya menelefon ibu bertanyakan mengenai bapa. Ibu agak hairan kerana saya bertanyakan beberapa soalan dan dia mula tidak sedap hati," katanya.

myMetro 7 Mei 2016


Jasad Datuk Dr Sundaran tiba di krematorium

MENDIANG Dr Sundaran Annamalai

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Jasad mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak tiba di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Jalan Tuanku, 3 petang tadi untuk upacara pembakaran pada 4.30 petang ini.

Jasad mendiang Dr Sundaran ditemani anak lelaki dan adik beradik lelakinya untuk upacara itu.

Difahamkan, abu mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai akan dibawa pulang ke kediamannya di USJ 2/4Q, Subang Jaya sebelum di larutkan di Pelabuhan Klang esok.

Turut memberi pemghormatan terakhir di Krematorium ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S K Devamany, ahli keluarga dan kenalan rapat mendiang.

Sebelum ini, jadad Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu diterbangkan dengan C130 Hercules 9.50 malam tadi dari Pangkalan Udara Kuching ke Pangkalan TUDM Subang.

Jasad mendiang Dr Sundaran ditemui semalam bersama empat lagi mangsa nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, di Sebuyau, Sarawak.

Sehingga tengah malam tadi, seorang lagi mangsa, juruterbang pesawat malang itu, Kapten Rudolf Rex Ragas, belum ditemui.

myMetro 8 Mei 2016


Ahmad Sobri selamat dikebumikan

Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Jenazah Lans Koperal Ahmad Sobri Harun, 26, pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah, 8.20 pagi.

Jenazah Allahyarham disambut ahli keluarga dan penduduk kampung yang menunggu seawal 12 tengah malam tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di perkarangan rumah keluarganya di Kampung Bukit Chempaka, di sini pada 7 pagi dan dibawa ke dalam rumah untuk solat jenazah sebelum ke tanah perkuburan untuk pengebumian.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman; ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman dan ADUN Tepoh, Hishamuddin Abd Karim.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah adalah pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Hampir 300 orang memenuhi perkarangan kubur bagi menyaksikan majlis pengebumian Allahyarham.

Sebelum ini, mayat ketiga nahas helikopter itu ditemui 1.03 tengah hari tadi di Sungai Batang Lupar, Lingga.

Mayat ketiga itu ditemui kira-kira satu kilometer dari kawasan mayat pertama iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon ditemui, semalam.

myMetro 8 Mei 2016


Doa suami isteri sehidup semati termakbul

Asmuni Abdullah

TANJONG KARANG 8 Mei – Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon pernah berdoa mahu sehidup semati dengan suaminya, Asmuni Abdullah.

Anak saudaranya, Ummu Hani Assaidah Abdullah, 30, yang menceritakan perkara itu berkata, dia agak terkejut hasrat Noriah itu menjadi kenyataan namun sedih dengan cara kematian kedua-duanya yang agak tragis.

“Doa Noriah mahu sehidup semati dengan suami akhirnya termakbul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, jenazah Asmuni selamat dikebumikan bersebelahan pusara Noriah di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Sungai Burong di sini, pada kira-kira pukul 9.30 pagi.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar; Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos dan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa.

Jenazah Noriah dikebumikan pada Sabtu lalu.

Noriah dan Asmuni, kedua-duanya 52 tahun maut dalam nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, Sarawak Khamis lalu.

Ummu Hani Assaidah menambah, ibu saudaranya itu juga pernah merancang mahu mengumpulkan anak-anak dari sebelah pihaknya dan suami pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Tetapi mereka tidak sempat beraya bersama kesemua anak-anak mereka.

“Perancangan mereka, Aidilfitri nanti kesemuanya datang beraya di sini,” ujarnya.

Utusan 9 Mei 2016


Nampak helikopter dipanah petir

Mona Lipek

Gelang Kadir

Arif Johari

SRI AMAN 8 Mei – Seorang penduduk rumah panjang di Kampung Seduku di sini mendakwa melihat sebuah daripada empat helikopter yang melalui kampung tersebut pada Khamis lalu, dipanah petir.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Mona Lipek, 40, memberitahu, dia sedang berehat di beranda rumahnya apabila melihat empat helikopter melintasi kawasan perkampungan mereka menuju ke arah Sebuyau.

Menurutnya, dia melihat helikopter keempat yang berada di belakang sekali tiba-tiba dipanah petir menyebabkan kelihatan tidak stabil.

“Disebabkan takut, saya terus masuk ke dalam rumah kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

“Pada masa sama, cuaca yang ketika itu hujan bertukar menjadi ribut dan angin kencang menyebabkan bunyi helikopter itu tidak kedengaran lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, sebuah helikopter jenis AS350 yang disewa dari Filipina oleh syarikat Hornbill Skyways untuk kegunaan semasa Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak, terhempas di Sebuyau semasa dalam perjalanan dari Betong ke Kuching

Lima penumpangnya iaitu Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon bersama suaminya, Asmuni Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun terbunuh manakala juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas masih belum ditemukan.

Menurut Mona, jarak helikopter keempat dengan tiga pesawat lain di hadapannya kelihatan agak jauh semasa kejadian berlaku.

Seorang lagi penduduk, Gelang Kadir, 39, mendakwa beberapa pokok kelapa bergoyang manakala rumahnya terasa bergegar apabila sebuah helikopter terbang rendah melintasi perkampungan mereka kira-kira pukul 4.30 petang pada hari kejadian helikopter membawa rombongan kenamaan itu dilaporkan terhempas.

“Saya sedang memasak apabila terasa rumah bergegar dan bumbung pula seperti mahu tercabut. Apabila memandang ke luar tingkap, saya nampak sebuah helikopter terbang begitu rendah seperti mahu melakukan pendaratan cemas,” dakwanya.

Tambahnya lagi, dia juga mendengar bunyi letupan tetapi tidak pasti sama ada datang dari helikopter itu atau bunyi petir.

Seorang nelayan, Arif Johari, 40, pula memberitahu, rakannya yang sedang bertukang juga mendakwa melihat sebuah helikopter terbang rendah menuju arah Sebuyau.

“Secara tiba-tiba helikopter itu hilang dari pandangan mungkin disebabkan keadaan hujan dan angin kencang pada masa itu,” katanya.

Utusan 9 Mei 2016


Khair-il mahu reka sendiri pelamin anak

KUALA KANGSAR 8 Mei – Allahyarham Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad begitu teruja untuk mengadakan majlis perkahwinan anak keduanya, Wan Imar Izzat, 25, yang dijadualkan Ogos depan sehingga berhasrat untuk mereka bentuk sendiri pelamin untuk majlis tersebut.

Isteri Allahyarham, Datin Mastura Mohd. Yazid berkata, ini bertepatan dengan kerjaya arwah suaminya sebagai seorang arkitek.

Bagaimanapun, katanya, hajat arwah itu kini hanya tinggal kenangan apabila arwah terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak Khamis lalu.

‘‘Arwah beria-ia mahu membuatnya (pelamin), mungkin disebabkan kami bakal menerima menantu pertama. Arwah juga berhasrat untuk menjadikan kenduri perkahwinan di sini sebagai kenduri rakyat khas untuk meraikan penduduk di Kuala Kangsar.

‘‘Arwah bercadang mengadakan jamuan masakan kampung. Namun hajat itu tidak kesampaian apabila terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak,’’ katanya ketika ditemui di kediamanya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu merupakan antara enam mangsa nahas helikopter di Sarawak pada Khamis lalu dengan mayat lima sudah dijumpai setakat ini.

Menurut Mastura, ekoran pemergian suaminya, beliau mahu memikirkan semula tarikh majlis perkahwinan anaknya yang telah ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata, ini kerana dalam keadaan hiba dan sedih, seboleh-bolehnya beliau tidak mahu mengadakan sebarang keraian.

‘‘Saya akan berbincang semula mengenai tarikh perkahwinan dengan keluarga bakal isteri anak saya, mungkin buat majlis pernikahan dahulu dan majlis resepsi tahun depan,’’ katanya.

Mastura berkata, beliau reda dengan pemergian suaminya namun tetap merasai kehilangannya kerana Allahyarham Wan Muhammad Khair-il Anuar adalah seorang yang sangat baik.

‘‘Saya amat bertuah dikurniakan seorang suami yang mempunyai personaliti yang sangat telus. Sebab itu, sepanjang 27 tahun perkahwinan kami, saya sanggup mengetepikan karier saya demi memberi keutamaan kepada tugas suami sebagai wakil rakyat.

‘‘Saya cuba menghadapi realiti bahawa Datuk sudah tiada. Sebenarnya saya takut menghadapi hidup ini sendirian.

‘‘Malah saya meraung apabila melihat baju-baju perjuangan Datuk bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang disimpan di dalam almari sehingga terpaksa ditenangkan oleh anak-anak,’’ katanya.

Utusan 9 Mei 2016


Jumpa jasad terakhir

Kapten Rudolf Rex Ragas

PASUKAN penyelamat terdiri dari pelbagai agensi mengangkat mayat dipercayai juruterbang helikopter yang membawa rombongan kenamaan ketika dalam perjalanan pulang dari Betong ke Kuching dalam kejadian khamis lalu di Jeti Lingga. FOTO Khairull Azry Bidin

Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Kuching: Mayat terakhir dipercayai juruterbang helikopter ditemui terapung kira-kira 5.5 kilometer dari jeti Triso, Sri Aman.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, Pasukan Polis Marin (PPM) menemui mayat terbabit ketika membuat pemeriksaan di kawasan terbabit.

Menurutnya, mayat akan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi mencari bangkai helikopter.

"Kawasan pencarian meliputi 875 kilometer persegi," katanya.

Sebelum ini, lima mangsa nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Khamis lalu sudah ditemui.

Mayat terakhir dipercayai Juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.

myMetro 9 Mei 2016


'Terima kasih Malaysia'

Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Kuching: "Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana berusaha mencari pakcik saya sehingga mayat ditemui."

Demikian luahan anak saudara Kapten Rudolf Rex Ragas iaitu Rhegel Raagas Serafin, 31, kepada Kerajaan Malaysia dan semua pihak yang terbabit dalam operasi pencarian pakciknya.

Mayat juruterbang helikopter dituntut Rhegel di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 1.15 petang tadi.

Mayat akan diterbangkan ke Marikina City, Filipina secepat mungkin selepas upacara pembakaran mayat selesai di Bau, di sini.

Petang Khamis lalu, helikopter yang dipandu Rudolf terputus hubungan dengan menara kawalan sebelum terhempas di kawasan Sebuyau dan mengorbankan lima lagi penumpang termasuk Timbalan Menteri Perusahan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

myMetro 11 Mei 2016






0 comments:

Post a Comment