May 21, 2016

Sepatutnya pulang dua hari lalu

Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Usaha mencari dan menyelamat 12 warga tempatan termasuk 10 kaki pancing digerakkan pihak berkuasa selepas mereka yang keluar pada Selasa lalu di sekitar perairan Pulau Aur, Mersing, Johor, sehingga kini masih belum pulang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata laporan kehilangan mereka dibuat oleh pemilik bot itu kira-kira 6.30 petang semalam selepas bot itu gagal dihubungi.

Menurut Rahmat, mereka sepatutnya pulang dua hari lalu dengan kedudukan terakhir bot nelayan yang dinaiki berada empat batu nautika dari Pulau Jemaja, Indonesia.

"Operasi mencari dan menyelamat kini digerakkan membabitkan pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di sini, Pegawai Operasi APMM Daerah Maritim 7 Leftenan Maritim Khairol Azwan Kasim berkata pencarian pihaknya kini tertumpu di kawasan Pulau Aur membabitkan sebuah kapal dan bot.

myMetro 21 Mei 2016


10 kaki pancing hilang ditemui selamat

JOHOR BAHRU - Bot nelayan yang membawa 12 orang termasuk 10 kaki pancing yang hilang di persekitaran Pulau Aur, Mersing sejak Selasa, ditemui selamat hari ini.

Bot itu dikesan pada 6.15 petang tadi oleh aset udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut, Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi.

"Semua mangsa selamat," kata Timbalan Pengarah (Operasi) Wilayah Selatan APMM Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata APMM telah mengerakkan aset lautnya ke lokasi bagi menyelamat dan menunda bot itu ke jeti Tanjung Sedili.

Kawasan mencari dan menyelamat mangsa dari Pulau Aur, Mersing sehingga Tanjung Sedili, Kota Tinggi melibatkan 60 anggota dari pelbagai agensi, katanya.

Bot nelayan itu, yang membawa seorang tekong, seorang awak-awak dan 10 kaki pancing, bertolak dari jeti Tanjung Sedili pada Selasa dan sepatutnya pulang pada Khamis.

Bagaimanapun, kedudukan terakhir bot itu dikesan di perairan Pulau Aur, Mersing, kira-kira empat batu nautika dari Pulau Jemaja, Indonesia, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman.

Menurutnya laporan kehilangan mereka dibuat oleh isteri tekong yang juga pemilik bot itu pada 6.30 petang semalam setelah gagal menghubungi suaminya.

Sebahagian daripada mangsa dikenali sebagai Roslan Husin, 34 (tekong), pemancing - Mohd Firdaus Jalil (tidak diketahui umur), Mansor Ibrahim, 63, Syaril Mohamad, 33, Muhamad Arham Salim, 24, Emran Firdaus Mohd Said, 30, Abd Rashid Saian, 44, Mohd Zaini Mohd Dekan, 50, dan Tan Seng Foo, 55.

Tiga lagi belum diketahui identiti mereka. - Bernama

21 Mei 2016


'Kami menyanyi sekuat-kuatnya'

Bot yang membawa 12 pemancing berjaya ditemui di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut, Tanjung Sedili. Gambar kecil dari kiri Syahril dan Mohd Firdaus kanan.

JOHOR BAHRU - Melihat kelibat pontianak dan terjumpa sekumpulan ikan lumba-lumba adalah antara pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh Syahril Mohamad, 30, dan Korperal Mohd Firdaus Jalil, 34.

Kedua-dua kaki pancing itu bagaimanapun tetap kuat semangat dan yakin bantuan tetap akan tiba meskipun turut diuji dengan angin kuat, selain turut melihat berlakunya pusaran air.

Mereka adalah antara 12 pemancing termasuk tekong dan awak-awak yang dilaporkan hilang di Pulau Aur, Mersing, Khamis lalu, berikutan terkandas selama tiga hari di lautan berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bot nelayan bawa 12 orang hilang di Pulau Aur]

Berdepan detik cemas itu juga membuatkan Mohd Firdaus yang berkhidmat di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, menggunakan pengalaman lebih 10 tahun dalam unit beruniform itu.

“Semasa mendapat tahu saluran minyak bocor dan kehabisan bahan tersebut, saya hanya mampu terdiam dan cuba bertenang sebaik mungkin dan kelebihan sebagai anggota polis, saya gunakan untuk bantu menenangkan rakan lain.

“Tidak dinafikan, ada waktu keadaan menjadi tegang antara kami dan tekong, namun kami berusaha untuk cuba menenangkan antara satu sama lain dan saya turut mengajak mereka sentiasa berfikiran positif,” katanya.

Bapa dua anak dan berasal dari Melaka itu memberitahu, tambah merisaukan apabila kedudukan bot yang mereka naiki hampir memasuki perairan Indonesia kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing, selain bekalan makanan juga hampir habis.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur apabila melihat kelibat helikopter Maritim semalam. Tiada kata-kata yang terkeluar, hanya mampu mengucapkan syukur kepada ALLAH SWT, sekali gus mahu segera pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Bagi Syahril yang berasal dari Pulau Pinang pula, pelbagai pendekatan digunakan mereka untuk bertenang dan tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan, dan ia termasuk meneruskan aktiviti memancing selain menyanyi bersama-sama.

“Ada waktu kami menyanyi sekuat-kuatnya semata-mata untuk menghilangkan tekanan, selain menenangkan diri, malah kami turut membuat isyarat SOS menggunakan kabus dengan harapan ada kapal dagang yang melihat,” katanya.

Sungguhpun terpaksa berdepan pengalaman getir itu, kedua-dua mereka memberitahu, tidak akan pernah serik keluar memancing pada masa akan datang kerana ia adalah hobi sejak lapan tahun lalu serta sukar untuk dilupakan.

Wartawan Sinar Harian
23 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment