May 27, 2016

Sempat selamat enam kuda

FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Tindakan pantas seorang pemandu lori berjaya menyelamatkan enam kuda lumba yang dibawanya daripada rentung selepas lori membawa haiwan berkenaan terbakar dalam kejadian di Kilometer 185 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Alor Pongsu, dekat sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Abdul Nasir Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.07 malam mengenai kejadian dan segera ke lokasi dengan sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba (PB) Zulkifli Baharom.

Menurutnya setibanya dilokasi, pihaknya segera memadamkan kebakaran terbabit menggunakan dua hos aliran air dari tangki jentera.

"Kebakaran memusnahkan 80 peratus bahagian kabin belakang lori berkenaan dan api berjaya dipadam dalam tempoh kurang setengah jam.

"Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat pada jam 12.23 tengah malam ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Abdul Nasir, maklumat awal mendapati pemandu lori yang menyedari kejadian itu bertindak menghentikan kenderaannya sebelum dia bersama beberapa penjaga penjaga kuda segera membawa kesemua kuda keluar dari kabin kuda yang sedang terbakar.

myMetro 27 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment