May 21, 2016

Sayu adik dicerca di media sosial

Mohd Afendy Yaziz (kiri) terbunuh dilanggar tren ETS semalam dan kakaknya, Hajar (kanan).

Jitra: Kakak remaja yang terbunuh akibat dilanggar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di Megat Dewa dekat sini, semalam, sayu dan sedih dengan tanggapan orang ramai di media sosial mengatakan adiknya membunuh diri, sakit mental, serta mempunyai masalah sosial.

Ketika ditemui di rumah ibunya di Megat Dewa, Kodiang, Hajar Yaziz, 27, berkata sebagai kakak paling rapat dengan adiknya, dia tahu Mohd Afendy, 20, taat agama, tidak pernah melawan atau meninggikan suara kepada mereka sekeluarga.

“Sedih melihat komen netizen di Facebook cakap adik saya macam-macam sedangkan kami tahu dia macam mana.

“Dia kerap melawat saya di Sungai Petani, malah menjaga saya ketika dalam pantang. Dia tidak keluar malam, suka duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga ," katanya yang meminta semua berhenti menyebarkan gambar arwah adiknya.

Menurutnya, selepas tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Dewa, adiknya melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah pondok di Perlis, namun berhenti setelah setahun dan bercadang belajar pondok di Kedah.

Kini bunyi kereta api ETS yang lalu di tepi ruma mereka menjadi igauan ngeri kepada ibu mangsa, Saripah Kassim, 54.

Bagaimana tidak, jarak rumahnya dengan landasan tren hanya 50 meter dan dia sekeluarga boleh mendengar dengan jelas bunyi tren yang lalu antara tiga hingga empat kali sehari.

Sebulan sebelum kematian anaknya itu, arwah ada membuat catatan di Facebook mengenai tanda-tanda 100 hari sebelum kematian.

Dalam kejadian kejadian 4.40 petang semalam, di Kilometer 114, laluan Kodiang-Anak Bukit, Afendy, anak keenam daripada sembilan beradik dikatakan baru selesai solat Asar dan hendak melintas laluan tren untuk membeli roti di seberang jalan.

Afendy tidak sempat mengelak tren ETS dari arah Padang Besar ke Kuala Lumpur menyebabkan dia dilanggar dan cebisan mayatnya diseret sehingga satu kilometer.

Saripah berkata ketika kejadian, dia ada urusan di Padang Sera dan Afendy berada bersama seorang lagi anaknya, Nurjannah, 15, serta nenek mereka.

"Ketika kejadian, tok (nenek) dia kelam kabut terus pergi tengok dan panggil Nurjannah datang. Lepas itu panik tak tau nak buat apa, telefon Hajar di Alor Setar," katanya.

myMetro 16 Mei 2016



Bunyi ETS jadi igauan ngeri buat Saripah

JITRA - Bunyi kereta api Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang lalu di tepi rumah, menjadi igauan ngeri buat Saripah Kassim yang kematian anak lelakinya semalam akibat digilis kereta api tersebut.

Manakan tidak, jarak rumahnya dengan landasan tren tersebut, hanyalah 50 meter, dan beliau sekeluarga boleh mendengar dengan jelas bunyi tren yang lalu dalam tiga hingga empat kali sehari.

Sebulan sebelum pemergian anak itu, arwah dikatakan ada membuat catatan di laman sosial Facebook miliknya mengenai tanda-tanda 100 hari sebelum kematian.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Megat Dewa, Kodiang hari ini, Saripah, 54, baru sahaja kembali dari menguruskan pengebumian anaknya, Mohd Afendy Yaziz, 20.

Semalam, Afendy, anak keenam dari sembilan beradik dikatakan baru selesai solat asar dan hendak melintas laluan tren tersebut, untuk membeli roti di seberang jalan.

Dalam kejadian pukul 4.40 petang di Kilometer 114, laluan Kodiang-Anak Bukit itu, Afendy bagaimanapun tidak sempat mengelak tren ETS dari arah Padang Besar ke KL Sentral tersebut, menyebabkan dia dilanggar dan cebisan mayatnya diseret sehingga satu kilometer.

Saripah berkata ketika kejadian, beliau berada di Padang Sera kerana ada urusan, dan arwah ketika itu berada bersama seorang lagi anaknya, Nurjannah, 15, dan nenek mereka.

"Ketika kejadian itu, tok dia terus la kelam kabut pergi tengok dan panggil Nurjannah tengok. Lepas itu memang panik tak tau nak buat apa dan telefon anak lagi satu yang duduk Alor Setar," katanya.

Kakak kepada Afendy, Hajar, 27, berkata bagaimanapun apa yang lebih menyayat hati mereka sekeluarga ialah tanggapan netizen di media sosial yang mengatakan bahawa adiknya membunuh diri, sakit mental, serta mempunyai masalah sosial.

Sebagai kakak yang paling rapat dengan arwah, beliau berkata, Afendy merupakan seorang anak yang sangat taat pada agama, dan tidak pernah melawan atau meninggikan suara kepada mereka sekeluarga.

"Dia seorang yang sangat lembut hati dan manja. Dia kerap melawat saya di Sungai Petani, malah ketika pantang dia turut menjaga saya. Dia tidak akan keluar rumah malam-malam, suka duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga.

"Bayangkan, anak-anak muda sebaya dia, ada tidak nak buat macam dia. Saya sangat sedih melihat komen-komen netizen di laman sosial Facebook cakap adik saya macam-macam sedangkan kami tahu dia macam mana," katanya dan meminta semua berhenti menyebarkan gambar arwah adiknya.

Setelah habis tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Dewa, arwah katanya melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah pondok di Perlis, namun berhenti setelah setahun dan bercadang untuk mengaji di sebuah pondok di Kedah.

Sebulan sebelum pemergian arwah katanya, arwah turut membuat satu catatan di laman sosial Facebook miliknya mengenai tanda-tanda 100 hari sebelum kematian.

Arwah juga sering meminta ibu memasak pelbagai makanan, kata Hajar. –Bernama

16 Mei 2016


Remaja maut digilis tren ETS

Kejadian berlaku di di Kilometer 114, laluan Kodiang-Anak Bukit.

ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun menemui ajal secara tragis apabila dirempuh dan digilis Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di Kilometer (km) 110.45 berdekatan Kampung Megat Dewa, Kodiang, semalam.

Kejadian berlaku sekitar 4.40 petang ketika mangsa, Mohd Afendy Yaziz melintas landasan untuk ke sebuah kedai runcit yang terletak di seberang landasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, mangsa dipercayai memanjat pagar dan melintas landasan sebelum dilanggar ETS dari arah Arau, Perlis menghala Jitra.

"Mayat mangsa berkecai dan cebisan anggota badan ditemui di sepanjang 1 kilometer landasan itu," katanya.

Menurutnya, cebisan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

"Ketika kejadian, keretapi tersebut membawa penumpang dan berhenti seketika selepas melanggar mangsa namun meneruskan perjalanan," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian 16 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment