May 5, 2016

Sangka demam biasa rupanya kanser

Islah menenangkan anaknya yang menangis menahan kesakitan.

NORAFIZA JAAFAR

RAWANG - Disangka hanya demam biasa namun selepas pemeriksaan dilakukan didapati ia adalah Febrile Neutropenia yang membawa kepada kanser tulang dan kini sudah berada di tahap empat.

Danish Aiman Baharuddin, 16, menderita penyakit itu sejak setahun lalu telah menjalani 13 kimoterapi dan hanya berbaki satu rawatan yang sepatutnya dilakukan 25 Mac lalu, namun atas faktor keadaannya yang semakin lemah baki rawatan itu tidak diteruskan.

Ibunya, Islah Zainul Abidin, 41, berkata, penyakit anak kedua dari tiga beradik itu dikesan tahun lalu selepas mengalami demam berterusan hampir sebulan dan terdapat benjol seperti cecair di dalam kepalanya.

Menurutnya, khuatir dengan keadaan anaknya itu, dia membawanya ke klinik sebelum merujuk ke Hospital Selayang.

“Kes anak saya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Pembedahan buang buah pinggang dah dibuat selepas dikesan ada ketumbuhan di situ, tapi kesihatan dia terus merosot.

“Doktor maklumkan kuman dalam badannya terlalu aktif dan daya tahan badannya tak kuat menyebabkan virus itu terus merebak ke bahagian badan lain terutama kaki, lutut, mata dan kepalanya,” katanya.

Sejak itu Islah berkata, anaknya tidak lagi bersekolah dan kini diberikan ubat tahan sakit serta hanya mampu terbaring di rumah.

“Dia memang bergantung kepada ubat tahan sakit sepenuhnya, bila dosnya dah habis dia akan menangis sebab terlalu sakit.

“Nak bangun memang tak boleh, hanya gunakan kerusi roda saja kalau dia nak keluar, makannya juga tak menentu, badannya susut separuh dari 120 kilogram kini hanya 60 kilogram,” katanya.

Sudahlah diuji dengan masalah kesihatan anak, Islah yang juga ibu tunggal turut diberhentikan kerja selepas kerap mengambil cuti untuk menjaga anaknya.

“Memang tengah buntu sekarang untuk uruskan hal rumah sebab dua lagi anak masih bersekolah, nak bayar sewa rumah dan hutang kereta serta makan minum lagi,” katanya.

Menurutnya, dia belum bercadang mahu bekerja kerana mahu memberikan sepenuh perhatian menjaga anaknya itu.

“Dia selalu mengadu sakit, bila tak makan ubat dia akan menangis sebab tak tahan sakit. Kalau saya bekerja, siapa yang nak jaga dia,” katanya.

Sebelum ini, dia pernah mempunyai rumah namun telah menjualnya kerana memerlukan duit sejak anaknya itu sakit menyebabkannya mereka sekeluarga kini terpaksa menyewa.

"Saya berharap ada bantuan daripada pihak luar untuk bantuan kewangan bagi membolehkan saya guna untuk urusan persekolahan dua anak saya,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menyumbang di akaun Maybank di bawah nama Islah Zainul Abidin 108186290643.

Sinar Harian 30 April 2016

0 comments:

Post a Comment