May 13, 2016

‘Rupa-rupanya opah ke pekan’

Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran di rumah pusaka milik Eshah. Gambar kecil: Eshah.

TELUK INTAN – Sangkaan nenek berusia 88 tahun terperangkap dalam kebakaran meleset setelah warga emas itu ditemui cucunya di pekan berhampiran untuk mengeluarkan duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sebelum itu, dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari kelmarin, rumah didiami Eshah Saman, 88, sejak 30 tahun lalu musnah dalam kebakaran.

Cucu Eshah, Siti Nur Ain Talib, 27, berkata, dia dan keluarga lain dimaklumkan adik perempuannya yang melihat asap dari rumah nenek mereka.

Menurutnya, pada mulanya mereka sekeluarga menyangka Eshah yang tinggal bersendirian berada di dalam rumah namun, berasa lega apabila dimaklumkan jiran, nenek sudah keluar sejak awal pagi.

“Adik saya tinggal di flat berhampiran Taman Ros, ketika di dalam bilik dia terlihat ada asap tebal datang dari rumah nenek dan bergegas ke sana.

“Setibanya di situ, adik melihat api sedang marak dan dia terus ke Kampung Terengganu mengambil emak. Kami semua pergi ke pekan Teluk Intan mencari nenek bagi memastikan dia tiada di dalam rumah seperti yang didakwa jiran. Alhamdulillah adik saya berjaya menemuinya,” katanya.

Eshah ketika ditemui wartawan berkata, ketika kejadian, dia berada di pekan untuk mengeluarkan duit BR1M di bank.

“Kemudian opah jalan-jalan di pekan nak beli barang dapur dan makan tengah hari.

“Tiba-tiba cucu datang maklumkan rumah terbakar, opah menangis dalam kereta dan sampai sahaja di rumah semua musnah,” katanya.

Ditanya berapa anggaran kerugian Eshah berkata, dia tidak dapat mengagak jumlah tersebut kerana terdapat pelbagai peralatan lama dan baharu di dalam rumahnya itu.

“Apa yang opah harapkan pihak berkenaan dapat membantu bina semula rumah di atas tapak ini kerana terlalu banyak kenangan di sana,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkafli Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.47 tengah hari kelmarin.

“Kami bergegas ke lokasi di Jalan Merbok dan api dapat dikawal dalam masa 10 minit, namun rumah tersebut musnah 100 peratus,” katanya.

Sementara itu, Adun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, Eshah merupakan penerima rumah bantuan di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU).

“Untuk makluman kita membantu anak Eshah mendapatkan rumah bantuan YBU di Kampung Selabak dan Eshah juga turut menerima bantuan rumah berkenaan.

“Tetapi rumahnya masih dalam pembinaan dan tidak sangka rumah lamanya terbakar sebelum dia berpindah ke rumah baru,” katanya.

Mohd Azhar turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Eshah di bawah tabung bencana alam.

Wartawan Sinar Harian
12 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment