May 11, 2016

Rugi RM1 juta kilang 'disapa' api misteri

KEBAKARAN memusnahkan kilang tayar dan komponen elektrik di Selayang pagi semalam.

Selayang: Pemilik kilang tayar dan kilang komponen elektrik kerugian lebih RM1 juta selepas premis itu terbakar misteri awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.33 pagi itu, hampir 80 peratus kilang terletak di Lorong Perusahaan Ringan 1, Taman Perindustrian Ringan, di sini, musnah terbakar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Selayang Abd Razak Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran menyebabkan keseluruhan bangunan kilang tayar berkenaan musnah 100 peratus manakala kilang komponen elektrik terbakar sebanyak 80 peratus.

“Kebakaran kilang tayar itu sukar dikawal memandangkan struktur bangunan yang runtuh menghempap tayar.

“Bagaimanapun, pihak kami berjaya mengawal kebakaran itu sejam kemudian,” katanya.

Abd Razak berkata, kebakaran itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

myMetro 11 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment