May 21, 2016

Ruang mandikan jenazah dalam rumah

(dari kiri) Minah dan Zainab menyediakan ruang untuk memandikan jenazah di rumah mereka. FOTO Syamsi Suhaimi

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Zaman moden ini sukar untuk melihat rumah yang ada ruang khas untuk memandikan jenazah, tetapi di Kelantan, beberapa penduduk menyediakan ruang itu ketika membina atau mengubah suai rumah.

Ada juga ibu bapa yang menjadikan keperluan sedia ruang itu sebagai tradisi keluarga dan diperturunkan kepada anak-anak (yang bina rumah sendiri).

Tinjauan Harian Metro sekitar sini, baru-baru ini menjejaki beberapa rumah yang mempunyai ruang berkenaan termasuk lantai mempunyai lubang kecil untuk saluran air.

Suri rumah Zainab Yaacob, 78, dari Lundang, di sini berkata, sudah membina ruangan khas itu hasil idea arwah suaminya, Wan Yaacob@Mustafa Wan Daud yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

"Arwah mencadangkan satu bilik di rumah kami diwujudkan ruang ini dan lantainya diubah suai supaya ada lubang cukup untuk menempatkan katil khas yang guna untuk mandi jenazah.

"Katanya, bilik itu akan memudahkan kami apabila hari tua kelak dan dipanggil menghadap Ilahi.

"Lagipun, zaman dahulu, orang memandikan jenazah dengan cara meriba, jadi ruangan begini sangat sesuai untuk alirkan air mandian terus ke bawah rumah.

"Cuma sekarang, sudah banyak tempat memandikan jenazah terutamanya masjid, jadi sebab itu sudah jarang kediaman dilengkapi ruangan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Zainab berkata, selain untuk kegunaan demikian, ruangan itu juga dimanfaatkan apabila terdapat ahli keluarga yang sakit terlantar dan sukar bergerak.

"Jadi mereka boleh dimandikan dan mengurus diri di situ sahaja. Tak perlu gerak ke tandas dan sebagainya," katanya.

Bagi Minah Yaacob, 70, dari Kampung Aman, di sini, kediamannya diubah suai sejak 10 tahun lalu dan dibina ruangan itu untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Katanya, cadangan itu dibangkitkan anak perempuannya yang kemudian meminta kontraktor rumah membina seperti dikehendaki mereka.

"Zaman sekarang tidak ramai kontraktor rumah yang akan terus bina ruangan begitu. Atas kesedaran pemilik rumah untuk beritahu mereka supaya bina ruangan berkenaan.

"Jauh beza dengan rumah zaman orang dulu-dulu, banyak rumah papan yang akan menebuk lubang pada lantai supaya digunakan untuk keperluan memandi jenazah.

"Jika tiada kematian dalam rumah itu, lantai berlubang berkenaan ditutup dengan papan dan boleh diletakkan perkakas rumah," katanya yang menganggap pembinaan itu sebagai persediaan untuk menghadap Ilahi.

myMetro 13 Mei 2016





0 comments:

Post a Comment