May 23, 2016

RM20 sehari tampung 6 beranak

Keadaan rumah dihuni enam beranak kelihatan belum siap

SARINAH MAT KASIM

GEMENCHEH - Ibarat kais pagi makan pagi, itulah nasib dihadapi enam sekeluarga di Felda Rokan Utara Gemencheh, di sini.

Suhaimi Ayub, 48, tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk strok otak, kencing manis, darah tinggi dan kolestrol sejak 2007.

Kehidupannya bersama empat anak lagi kini bergantung kepada isteri, Padilah Baharom, 43, yang berniaga sarapan pagi di depan rumah.

"Hidup kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mujur ada wakil rakyat datang sebelum ini, beri khemah dan keperluan niaga. Dapat juga kami berniaga tambah pendapatan,” katanya.

Menurutnya, dengan pendapatan tidak menentu antara RM15 dan RM20 sehari diperoleh hasil berniaga sarapan pagi itulah digunakan mereka enam beranak untuk meneruskan hidup, termasuk menampung belanja empat anak yang masih bersekolah.

"Kadang-kala tidak dapat berniaga kerana terpaksa pergi ke hospital mendapatkan rawatan susulan," katanya ketika ditemui di rumahnya semasa program ziarah, Titian Harapan dikendalikan Persatuan Pembangunan Masyarakat Malaysia (PPMM), baru- baru ini.

Atas kesempitan hidup dihadapi, Suhaimi mengharapkan bantuan tambahan bagi menampung keperluan keluarga serta anak- anaknya yang masih bersekolah.

Katanya, pada tahun lalu dia pernah meminta bantuan melalui e-Kasih, yang diuruskan Pejabat Pembangunan Negeri (bukan di bawah kendalian JKM), tetapi sehingga kini masih tiada sebarang jawapan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Mohamad Hapil berkata, setelah JKM membuat rujukan, pihaknya mendapati bahawa Suhaimi telah membuat permohonan semula bantuan secara peribadi di JKM pada 11 Mei lalu.

Jelasnya, setelah semua proses yang dijalankan selesai, pihaknya telah meluluskan permohonan itu pada 13 Mei, dan bayaran bantuan pertama dijangka akan dibuat pada 1 Jun ini.

“Surat pemberitahuan belum dikeluarkan lagi, dan kita berharap bantuan am yang diberikan JKM ini dapat membantu meringankan bebannya sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi  Persatuan Persatuan Masyarakat Malaysia (PPMM), Mohd Aryan Khailash Arumugam berkata, pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan permohonan dan peruntukan untuk membaik pulih rumahnya, yang semakin usang.

Katanya, banyak kesan bocor di zink dan kawasan rumah yang perlu dibaiki, bagi memastikan keluarga ini dapat hidup dalam keadaan selesa.

Wartawan Sinar Harian
22 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment