May 8, 2016

Rentung dalam but

CINCIN yang ditemui bersama mangsa. Gambar kanan, mangsa ditemui di dalam kereta yang terbakar.

Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kajang: Seorang lelaki dipercayai dibunuh dan disumbat mayatnya di dalam but kereta sebelum dibakar penjenayah hingga rentung.

Mayat mangsa yang hangus 100 peratus ditemui di dalam kereta yang ditinggalkan tersadai di kawasan hutan di Jalan Genting Peras, Hulu Langat, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, seorang lelaki yang melalui kawasan itu menghidu bau busuk sebelum dia bertindak menghubungi pihak polis.

Difahamkan, beberapa saksi mendakwa melihat kereta itu sejak beberapa hari lalu, namun menyangka ia kebakaran biasa dialami pemiliknya ketika melalui kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata, siasatan polis di lokasi kejadian menemui satu mayat rentung di dalam but kenderaan berkenaan.

myMetro 7 Mei 2016


Mayat rentung dalam kereta

KUALA LUMPUR 6 Mei – Misteri bau busuk di bahu Jalan Genting Peras, Hulu Langat menghala Kuala Klawang dekat sini terjawab apabila polis menemukan satu mayat rentung, dipercayai mangsa bunuh di dalam but belakang sebuah kereta yang terbakar 100 peratus semalam.

Kejadian itu disedari orang awam yang hairan dengan bau busuk ketika melalui kawasan tersebut sebelum melaporkannya kepada polis kira-kira pukul 7.30 malam.

Difahamkan, lokasi kejadian me­rupakan kawasan sunyi dan berada kira-kira tiga kilometer daripada ke­diaman penduduk.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asis­ten Komisioner Othman Nanyan berkata, siasatan awal di lokasi kejadian menemukan rangka dipercayai manusia di dalam but belakang kereta Honda Accord 2.4 yang bernombor pendaftaran WRT919 bersama sebentuk cincin.

“Berdasarkan nombor casis kenderaan, pemilik kenderaan dikenal pasti sebagai R. Mathialagan yang berumur 43 tahun dan tinggal di alamat no.82, Jalan Saga 23, Taman Saga Ampang, Selangor. Dia mempunyai tiga adik-beradik yang tinggal di sekitar Gombak dan Selayang.

“Kita cuba menjejaki ahli keluarga pemilik kereta itu berdasarkan rekod alamat tetapi malangnya nombor rumah tersebut tidak wujud,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini hari ini.

Menurut Othman, pada masa ini, siasatan dilakukan berdasarkan nama pemilik kenderaan kerana pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis bersabit orang hilang.

Jelasnya, beberapa sampel ber­kaitan kejadian diambil untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mangsa ditemukan dalam but belakang kereta sekali gus menolak kemungkinan mati mengejut.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, mayat tersebut dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan akan dirujuk kepada pakar Patologi di Hospital Serdang pada Isnin hadapan bagi mengetahui punca kematian.

Ujarnya, siasatan lanjut juga men­dapati pemilik kenderaan itu tidak mempunyai sebarang rekod jena­yah.

Dalam pada itu, Othman memberitahu, pihaknya percaya kejadian tersebut dilakukan pada waktu malam dan mangsa dibunuh pada Selasa lalu kerana kenderaan terbabit dilihat sejak dua hari lalu.

 Utusan 7 Mei 2016



Lima suspek kes mayat rentung ditahan

Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Kajang: Lima lelaki ditahan sejak Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat rentung dalam kereta di Jalan Genting Pras, Hulu Langat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, suspek berusia antara 27 hingga 43 tahun dipercayai mengenali mangsa.

"Polis juga mengambil sampel darah dua individu yang dipercayai anggota keluarga mangsa untuk perbandingan DNA dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, 2.30 petang semalam.

"Perkembangan terkini siasatan kes akan diberikan mengikut keperluan," katanya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, seorang lelaki dipercayai dibunuh dan disumbat mayatnya di dalam but kereta sebelum dibakar.

Mayat mangsa ditemui di dalam kereta yang ditinggalkan tersadai di kawasan hutan di Jalan Genting Peras, Hulu Langat.

myMetro 10 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment