May 5, 2016

Remaja maut nahas enam kenderaan

ANTARA enam kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba

Mohamed Arsyad Md Yassin
am@hmetro.com.my

Tapah: Remaja maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di kilometer 348.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat & Rawat (R&R) Ladang Bikam di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan 6.25 pagi itu, penunggang motosikal, Muhammad Alif Danial Rozila, 17, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa anggota badan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Mohd Nizam Mohd Affendi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.28 pagi dan tiba ke lokasi lima minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan dua Perodua Alza, Toyota Vios dan Toyota Estima serta dua motosikal.

"Kemalangan itu dipercayai mengakibatkan seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ yang maut manakala seorang lagi yang menunggang Kawasaki Ninja parah.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dibawa oleh ambulan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut," katanyaketika dihubungi di sini hari ini.

myMetro 2 Mei 2016


Dua penunggang maut kemalangan

Keadaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan, semalam.

SITI KHAIRULNISAH MOHAMED BAJURI

BIDOR - Dua penunggang maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan tiga kereta di Kilometer 348.8 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa Muhammad Alif Daniel Rozula, 17, yang menunggang motosikal maut di lokasi kejadian, sementara Mohd Nizam Mamat, 43, juga menunggang motosikal meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tapah.

Mangsa yang tercampak ke tengah jalan maut akibat parah selepas dirempuh kenderaan yang datang dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, berdasarkan siasatan awal, motosikal ditunggang Muhammad Alif Daniel hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan mangsa terjatuh di lorong kanan jalan.

Menurutnya, kereta yang mengekori belakang motosikal mangsa sempat mengelak, namun terlanggar belakang sebuah bas.

“Sebuah kereta yang dari arah sama tidak sempat elak lalu langgar mangsa yang berada di atas jalan, keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Selang 10 minit kemudian, Mohd Nizam yang menunggang motosikal hilang kawalan akibat terlanggar sisi kereta menyebabkannya tercampak ke tengah jalan. Pintu kereta berkenaan tertanggal dan melantun ke tengah laluan.

“Dalam masa sama, sebuah lagi kereta datang, tidak sempat mengelak dan melanggar pintu kereta yang berada di laluan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, jenazah Muhammad Alif Daniel yang merupakan anak anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highland dan Mohd Nizam  yang beralamat di Jeli, Kelantan diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Sinar Harian 3 Mei 2016


Anak anggota polis antara dua maut kemalangan di Bidor

IPOH - Dua penunggang motosikal termasuk anak anggota polis maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Km348.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Bidor, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, dua yang maut dalam kemalangan kira-kira 6.15 pagi itu dikenal pasti Muhamad Alif Daniel Rozula, 17, dan Mohd Nizam Mamat, 43.

Katanya, Muhamad Alif yang merupakan anak anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Cameron Highlands maut di tempat kejadian manakala Mohd Nizam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tapah.

Kemalangan dipercayai berpunca apabila sebuah kereta terbabas dan melanggar belakang sebuah bas ketika cuba mengelak Muhamad Alif yang terjatuh di atas jalan selepas motosikalnya terbabas, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Sebuah lagi kereta yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar Muhamad Alif sebelum melanggar pembahagi jalan. Kira-kira 10 minit kemudian motosikal yang ditunggang Mohd Nizam juga gagal mengelak," katanya.

Lainnya tidak cedera dalam kemalangan itu, katanya. - Bernama

2 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment