May 5, 2016

Remaja maut, gagal elak Myvi

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan selepas mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT - Seorang penunggang motosikal yang juga pekerja sebuah kilang biskut di Tongkang Pechah, di sini, maut setelah melanggar sebuah kereta yang sedang membuat pusingan U.

Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, di T/L 259, Jalan Parit Jalil itu, penunggang motosikal maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan mangsa, Muhammad Halimi Jaswandi, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa pulang dari tempat kerjanya, dan kemudiannya melanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang membuat pusingan U.

"Mangsa dipercayai gagal melihat kenderaan terbabit buat pusingan U. Kereta berkenaan berada dari arah sama dengannya, yang berada di hadapannya ketika itu.

"Mangsa cuba mengelak, namun gagal kerana kedudukan kereta terlalu dekat dengannya dan kemudiannya melanggar bahagian kanan kereta terbabit," katanya.

Din berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak beberapa meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tujuan dokumentasi dan juga proses bedah siasat.

"Siasatan awal punca kemalangan akibat kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri, walau didapati ketika kejadian hujan renyai-renyai.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya, supaya berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Sinar Harian 2 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment