May 26, 2016

'Rasa lain macam'

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran

Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Seorang bapa bersyukur apabila anak dan tiga rakannya terselamat daripada menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Sena, Jalan Meranti, di sini, petang kelmarin.

Kebakaran jam 6 petang itu memusnahkan 90 peratus rumah kayu berkenaan.

Mohamad Daud, 63, berkata, sebelum kejadian dia berasa tidak sedap untuk pulang ke rumah berkenaan dan pulang ke rumah lain 300 meter dari kawasan terbabit.

“Biasanya selepas Asar, saya ke rumah berkenaan untuk hidupkan lampu disebabkan rumah ini dihuni anak Asma Samirah, 23, bersama tiga rakannya.

“Mereka pulang malam dan sebab itu saya singgah untuk hidupkan lampu supaya tidaklah mereka pulang dalam keadaan bergelap.

“Cuma semalam (kelmarin) saya tak rasa hendak ke sana, hati rasa tak sedap. Rupa-rupanya ada kejadian lain yang akan berlaku dan saya sangat bersyukur anak dan rakannya tidak pulang lebih awal ketika itu.

Menurutnya, ketika kejadian, tiada siapa di rumah itu kerana anak dan rakannya masih menjalani latihan amali di Salor.

Asma Samirah berkata, dia dan rakannya segera pulang apabila dihubungi anggota keluarga memaklumkan kejadian itu.

Katanya, dalam perjalanan itu, dia hanya memikirkan keselamatan bapanya dan ahli keluarga lain yang biasanya singgah ke rumah berkenaan sebelah petang.

“Sebaik saja tiba di situ, saya lihat anggota bomba memadamkan kebakaran dan semua barang serta kelengkapan dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

“Jika ikutkan perasaan, memanglah sedih kerana semua barang terutama dokumen penting tidak dapat diselamatkan. Namun apabila difikirkan balik, saya bernasib baik kerana tidak berlaku kemalangan jiwa dan ayah juga tidak berada di rumah itu ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 El Taraff Mohd Zachariah dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.23 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera bersama sembilan anggota ke tempat kejadian dan mengambil masa enam minit untuk mengawal kebakaran.

“Api dipadam sepenuhnya dua jam kemudian. Punca kebakaran masih disiasat dan anggaran kerugian RM110,000,” katanya.

myMetro 26 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment