May 6, 2016

Qila bergantung hidup empat mesin

Qila yang dipangku Nor Hafizah terpaksa bergantung kepada empat jenis mesin berikutan masalah pada usus kanak-kanak itu.

NOR AZIHAN MD GHAZALI

KUALA LUMPUR - "Saya reda apa sekalipun berlaku pada Qila tapi...selagi boleh berusaha untuk dapatkan duit, saya akan usaha demi pastikan dia sembuh," kata Nor Hafizah Zainuddin, 30, ibu kepada Qila atau Nurul Aqila Maisara Hasmadi berusia setahun empat bulan yang berdepan masalah usus tidak sempurna dan tiada saraf sejak dilahirkan.

Berikutan penyakit tersebut, Qila hanya mampu terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak dua tahun lalu iaitu pada 31 Disember 2014 dan terpaksa bergantung kepada empat jenis mesin.

Nor Hazifah berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan mempunyai masalah usus sejak dilahirkan, sekali gus menyebabkan dia tidak sempurna seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

“Kegagalan fungsi usus menyebabkan dia tidak mampu menikmati apa jua jenis makanan, lebih menyedihkan apa yang dia makan semua akan dimuntahkan semula.

“Memang diakui badannya agak berisi sejak kebelakangan ini, tapi keadaan dalamannya sukar digambarkan,” katanya ketika ditemui di PPUM, semalam.

Sebelum ini menurutnya, badan Qila agak kurus dan memaksa doktor memasukkan air, nutrisi dan sebagainya ke dalam badan menggunakan wayar yang ditebuk di bahagian perut.

“Alhamdulillah, badannya kini agak berisi, kalau tak ia masih sama macam sebelum ini.

“Pergerakannya agak terbatas sebab kehidupan hariannya bergantung kepada mesin-mesin di wad.

“Banyak kali saya minta anak saya dipindahkan ke kampung halaman di Terengganu, tapi kekurangan pakar di hospital sana menyebabkan saya akur untuk mendapatkan rawatan anak di sini,” katanya yang berasal dari Chukai, Kemaman.

Beliau berkata, selain bimbangkan keadaan anaknya itu, dia turut dihimpit masalah kewangan untuk menampung pelbagai kos rawatan anak kesayangannya itu.

“Saya dan suami terpaksa jelaskan bil semasa PPUM bermula 31 Disember 2014 hingga Jun tahun lepas yang berjumlah RM27,981.

“Kami juga terpaksa sediakan wang untuk kos pembedahan yang dijangka akan dilakukan Jun ini selepas melihat keputusan pakar untuk hasil pembedahan Qila pada 21 Februari lalu.

“Saya buntu kenangkan kos Qila termasuk lampin, susu dan sebagainya sahaja sudah cecah RM2,000 sebulan. Mana kami nak cari duit sebanyak itu sedangkan saya tak kerja, suami pula hanya kerja buruh di Terengganu,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila mereka sekeluarga terpaksa tinggal berjauhan apabila suami dan anak sulungnya berusia tiga tahun berada di Terengganu dan hanya berjumpa sekali dalam tempoh beberapa bulan.

Anak sulungnya Mohamad Hadif, 3, turut mempunyai masalah pada salur injap jantung (sempit) yang turut memerlukan perhatian khusus.

Justeru itu, dia merayu sumbangan untuk anaknya yang memerlukan keseluruhan kos berjumlah RM100,000.

Sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank (151146521900) atas nama Nor Hafizah Zainuddin atau hubunginya di talian 013-5385544.

Sinar Harian
6 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment