May 11, 2016

Polis sahkan video pelajar dipukul warden

Petikan rakaman warden memukul pelajar di sebuah sekolah vokasional di Sungai Buloh.

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan rakaman video pelajar dipukul warden di sebuah sekolah vokasional di Sungai Buloh yang menjadi viral di media sosial sejak semalam, adalah benar.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu.

"Polis menerima laporan berkaitan kes itu daripada seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 10.25 pagi semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abd Rahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5.30 petang Khamis lalu, di asrama Kolej Vokasional Sungai Buloh dan video kejadian yang dirakam mula tersebar di laman media sosial petang semalam.

Beliau berkata polis menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Video berdurasi seminit 10 saat itu menunjukkan seorang pelajar sekolah dipukul warden dengan memijaknya kerana pelajar itu dikatakan melakukan kesalahan.

BERNAMA

myMetro 9 Mei 2016


Warden digantung perkhidmatan


Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com

Rawang: Kementerian Pendidikan menggantung perkhidmatan warden yang memukul pelajar sebuah kolej vokasional di Sungai Buloh, Ahad lalu selama dua minggu sehingga siasatan selesai.

Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan berkata, beliau amat kecewa dengan apa yang berlaku dan mengganggapnya sesuatu yang tidak dapat diterima dalam dunia pendidikan.

"Kita sedang menunggu laporan penuh berhubung insiden berkenaan dan selebihnya menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan kerana saya difahamkan laporan polis sudah pun dibuat.

“Saya amat kecewa kerana sudah banyak kali saya berpesan mendisiplinkan anak dan mencederakan anak adalah dua perkara yang berbeza,” katanya selepas merasmikan Program Klinik Saringan Pekak di Sekolah Kebangsaan Sungai Choh di sini, hari ini.

Ahad lalu, satu rakaman sebuah video pelajar sekolah yang dipukul oleh seorang warden di Sungai Buloh tersebar dan menjadi viral di media sosial.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5.30 petang Khamis lalu di asrama kolej berkenaan.

myMetro 11 Mei 2016


Pelajar dipukul warden teruskan pengajian

Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my

Rawang: Pelajar yang dipukul warden di sebuah sekolah vokasional, Ahad lalu masih meneruskan pengajian dan aktiviti harian seperti biasa.

Sumber daripada Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pendidikan berkata, pelajar lelaki berusia 16 tahun itu kini sedang menjalani pentaksiran akhir semester.

"Bagaimanapun, pelajar berkenaan telah diberikan kaunseling dan khidmat nasihat agar fokus kepada pelajaran dan tidak lagi melakukan kesalahan disiplin selepas ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan memberitahu warden berkenaan telah dikenakan tindakan gantung perkhidmatan selama dua minggu sehingga siasatan selesai.

Ahad lalu, satu rakaman sebuah video pelajar sekolah yang dipukul oleh seorang warden di Sungai Buloh tersebar dan menjadi viral di media sosial.

Siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku 5.30 petang Khamis lalu di asrama kolej berkenaan.

myMetro 11 Mei 2016


Warden dikompaun RM3,000

Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Shah Alam: Mahkamah Majistret hari ini, memerintahkan seorang warden asrama membayar kompaun RM1,500, masing-masing kepada dua pelajarnya atas kesalahan membelasah mereka di sebuah asrama di Sungai Buloh, dekat sini, 3 Mei lalu.

Majistret Raja Nor Adilla Raja Mahyaldin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mahbut Yaacob, 53, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan.

Sebelum itu, bapa kedua-dua mangsa bersetuju menyelesaikan perkara itu secara berhemah dan kompaun yang dikenakan adalah mengikut Seksyen 260 Kanun Prosedur Jenayah.

Mengikut pertuduhan, Mahbut dengan sengaja menyebabkan kecederaan iaitu dengan memukul dan memijak tubuh badan dua pelajar Tingakatan 4 itu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Aras 2, Asrama Blok Kasih Kolej Vokasional Sungai Buloh, pada jam 5.30 petang.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama kira-kira jam 5.20 petang, pada tarikh dan tempat sama.

Berikutan itu, bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

myMetro 13 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment