May 11, 2016

Perlu dana orang ramai

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan berasaskan konsep tertentu mengikut keupayaan pelajar.

SAPINAH AB GHANI

KOTA BHARU - Mereka tidak mengharapkan lebih daripada sepatutnya, cukup sekadar diberi ruang dan kemudahan yang selesa bagi membolehkan mereka mengikuti sesi pembelajaran sebagaimana pelajar normal lain.

Namun, kekurangan dana dihadapi Pusat Asuhan Harian Kanak-Kanak Spastik (Pusakas) yang merupakan tempat khas untuk belajar dan menjalankan aktiviti seharian memaksa anak-anak istimewa ini akur dan menerima kemudahan disediakan, seadanya.

Biarpun sedar, terlalu banyak perlu diperbaiki, namun bahagian pengurusan tidak berupaya mengambil tindakan selanjutnya berikutan kekurangan dana.

Pengetuanya, Samsuriati Salleh berkata, sekurang-kurangnya sebanyak RM20,000 sebulan diperlukan bahagian pengurusan Pusakas untuk menampung perbelanjaan utiliti, penyelenggaraan bas dan gaji kakitangannya.

“Ia perbelanjaan yang tidak termasuk dalam geran bantuan, jumlah yang cukup besar di saat kami berdepan masalah dana. Sebab itu pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan pusat ini berfungsi dan dapat memainkan peranannya dengan baik.

“Kami begitu mengalu-alukan jika ada pihak tertentu termasuk NGO yang boleh menyumbang kepada pusat ini,” katanya.

Terdahulu, Samsuriati menerima sumbangan beras daripada Kastam DiRaja Malaysia Kota Bharu yang disampaikan Pengurus Cawangan Negeri Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Nor.

Menurutnya, walaupun mempunyai kemudahan pengangkutan untuk mengambil dan menghantar anak-anak, namun bas dan van dimiliki sudah terlalu uzur dan gagal memberikan keselesaan kepada pelajar (bumbung bocor).

Dalam pada itu, Samsuriati berkata, institusi pendidikan khas swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian

Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu telah beroperasi sejak 1981 dan mempunyai 107 pelajar dari usia enam sehingga 30 tahun.

“Di sini, kami memberi pendidikan peringkat rendah, menengah dan vokasional kepada anak-anak Sindrom Down, Cerebral Palsy, autisma, masalah pembelajaran serta terencat akal secara percuma,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Islamik Pusakas (8601789654) atas nama Pusat Asuhan Harian Kanak-Kanak Spastik atau menghubungi bahagian pengurusan di talian 097746118.

Sinar Harian 9 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment