May 13, 2016

Perjuangan Sivaaji

KEADAAN kepala Sivaaji yang ditimpa pokok pinang.

Nor 'Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terlantar lesu di atas katil, tanpa tempurung kepala dengan tiub minuman terpasang pada hidung.

Itu keadaan seorang remaja yang terpaksa menanggung derita sepanjang hayat berikutan kecederaan parah dialaminya akibat dihempap sebatang pokok pinang.

Kejadian yang berlaku pada 19 Januari lalu itu mengubah diri B Sivaaji Muthalyar, 16, secara total daripada seorang periang menjadi ‘bisu’.

Ibunya, Igusti Ayumade Purnami, 40, berkata, insiden menimpa B Sivaaji Muthalyar itu ketika anaknya bermain bola sepak di padang berhampiran dengan kediaman mereka di Bukit Pasir, Muar.

Katanya, kecederaan itu memaksa anaknya menjalani pembedahan membuang darah beku dan tengkorak yang retak akibat hentakan kuat daripada batang pokok pinang berkenaan.

“Pembedahan dilakukan di sebuah hospital swasta di Melaka pada 20 Januari lalu membabitkan kos RM140,000 dan masih berhutang RM12,000 di hospital terbabit.

“Kos ini tinggi kerana meliputi bayaran selama lebih satu bulan menjalani rawatan di hospital ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Kisah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sri Amar Diraja, Muar itu menjadi viral di laman sosial dalam usaha mendapatkan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban keluarganya.

Igusti berkata, insiden yang menimpa anak keduanya itu umpama halilintar yang memusnahkan kegembiraan dalam kehidupannya dan kini berhadapan pula dengan bebanan untuk menampung kos keperluan anaknya mencecah RM1,450 sebulan.

“Wang ini untuk kegunaan membeli ubat, lampin pakai buang dan susu Ensure kerana anak bergantung sepenuhnya dengan susu ini sebagai makanan.

“Pendapatan suami RM1,500 sebagai pemandu bas pelancongan tidak cukup untuk menampung keperluan ini kerana perlu juga untuk perbelanjaan keluarga,” katanya.

Suri rumah itu berkata, sejak tiga hari lalu anaknya dimasukkan semula ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun 4462 4257 07 (Public Bank) suaminya, N Bala Saravanan, 45.

myMetro 13 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment