May 4, 2016

Penyamun tak sempat lari

FOTO ihsan pembaca


Mohd Hilmi Mahmud
am@hmetro.com.my

Georgetown: Dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah ditahan polis di Jalan Lim Lean Teng, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, kejadian jam 5.20 petang itu, anggota MPV melihat sebuah kenderaan dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kebun Bunga.

Katanya, apabila dihampiri polis pemandu kereta terbabit memecut kenderaannya menyebabkan anggota MPV terpaksa mendapatkan bantuan Unit Trafik dan Unit Rondaan Balai.

"Suspek yang memandu dalam keadaan bahaya merempuh beberapa kenderaan dan melanggar sebuah MPV ketika cuba melarikan diri dari kepungan.

"Dua suspek berusia 25 dan 28 tahun ditahan, manakala seorang rakan mereka sempat meloloskan diri dan sedang diburupolis," katanya.

myMetro 29 April 2016


Undur untuk langgar MPV polis

Georgetown: Orang ramai yang berada di sekitar Jalan Lim Lean Teng di sini, terkejut melihat adegan umpama dalam filem apabila sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki dikejar unit kereta peronda (MPV), unit trafik dan Unit Ronda Balai, petang kelmarin.

Malah, kereta suspek merempuh beberapa kereta diparkir di tepi jalan dan turut mengundur untuk melanggar MPV menyebabkan kerosakan sebelum dua daripada tiga suspek itu ditangkap manakala seorang lagi sempat meloloskan diri.

Drama berkenaan bermula jam 5.20 petang apabila anggota MPV yang membuat rondaan di kawasan Kebun Bunga melihat sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya.

Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan memecut untuk melarikan diri menyebabkan anggota MPV menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk bantuan sebelum Unit Trafik dan Unit Rondaan Balai memberi bantuan untuk bersama-sama mengejar suspek.

Selepas berjaya menghentikan kereta suspek, anggota polis terus mengejar ketiga-tiganya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah termasuk kes pecah rumah dan rompakan sebelum dua lelaki berusia 28 dan 25 tahun ditahan manakala seorang lagi sempat melarikan diri.

myMetro 30 April 2016


0 comments:

Post a Comment