May 6, 2016

Penyamun menyusup pagi buta

MANGSA berlumuran darah mendapatkan bantuan jiran selepas disamun.

Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Sungai Buloh: “Mangsa dengan berlumuran darah keluar meminta bantuan jiran selepas disamun,” kata Hasnizam, saksi kejadian samun di Jalan SP 2/3, Seri Pristana, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi, seorang lelaki lingkungan 30-an cedera kepala dan bahu selepas diserang tiga penyamun bersenjatakan parang yang memasuki rumahnya.

Menurutnya, kejadian berlaku sewaktu mangsa dan isteri mahu menghantar tiga anak ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

Katanya, sewaktu membuka pintu pagar automatik, dua daripada suspek meluru masuk ke kediamannya.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, penyamun masuk dan menyerang mangsa yang cuba menghalang mereka.

“Saya difahamkan suspek sempat mengambil barangan kemas milik isteri mangsa sebelum melarikan diri dengan motosikal Yamaha 125Z di hadapan rumah.

“Mangsa yang cedera di kepala dan bahu dibantu oleh jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui.

Hasnizam berkata, mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital swasta di Shah Alam.

Katanya, ahli keluarga mangsa juga membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama, di sini, pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, polis mengesan tiga suspek yang melakukan kegiatan samun berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan,” katanya.

myMetro 5 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment