May 5, 2016

Penjaga gol Melaka United meninggal dunia

Marco Stefan Petrovski, 18, bermain untuk Sydney Olympic FC di Australia sebelum berpindah ke Melaka United musim ini. - Foto Fail

Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Penjaga gol simpanan Melaka United (MU), Marco Stefan Petrovski, 18, yang tidak sedarkan diri selepas dipanah petir pada 5 April lalu, meninggal dunia hari ini di sebuah hospital swasta di Jalan Bendahara, di sini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Yusof Mahadi mengesahkan perkara itu.

Petrovski tidak sedarkan diri selepas dipanah petir itu ketika menjalani latihan skuad Piala Presiden di Padang Sepuluh, Krubong. Ketika kejadian, dia menjalani latihan bersama 28 pemain di padang terbabit bermula 4 petang.

Pemain itu bermain untuk pasukan Sydney Olympic FC di Australia sebelum berpindah ke MU musim ini.

Bapanya, Marjan Petrovski dan ibunya, Marie Lupang, tiba di Malaysia dari Australia, 7 April lalu.

myMetro 1 Mei 2016


Petrovski tidak sedarkan diri sepanjang rawatan

Mayat Petrovski dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka petang tadi untuk bedah siasat. - Foto ZUHAIRI ZUBER

Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Sejak dipindahkan ke Hospital Pakar Putra, Melaka, pada 11 April lalu, penjaga gol simpanan Melaka United, Marco Stefan Petrovski, 18, yang terkena panahan petir bergantung kepada alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra Datuk Radhuana Salleh berkata, Petrovski disahkan meninggal pada 4 petang tadi ketika masih menerima rawatan.

“Dia dimasukkan ke sini pada 11 April lalu dan sepanjang dirawat, dia tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Petrovski tidak sedarkan diri selepas dipanah petir 5 April lalu, ketika menjalani latihan skuad Piala Presiden di Padang Sepuluh, Krubong. Ketika kejadian, dia menjalani latihan bersama 28 pemain di padang terbabit bermula 4 petang.

Pemain itu bermain untuk pasukan Sydney Olympic FC di Australia sebelum berpindah ke MU musim ini. Bapanya, Marjan Petrovski dan ibunya, Marie Lupang, tiba di Malaysia dari Australia, 7 April lalu.

Menurut Radhuana, mayat pemain muda itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka petang tadi untuk bedah siasat dan akan dibawa balik ke Australia untuk pengebumian.

myMetro 1 Mei 2016


Kecederaan penjaga gol dipanah petir serius

M JEFFRI RAZALI

BANDARAYA MELAKA - Penjaga gol  naturalisasi Melaka United yang parah ‎ disambar petir petang semalam dilaporkan ‎ masih berada dalam keadaan serius tetapi stabil selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.05 ‎petang itu, Stefan Marco Petrovski, 18, parah manakala seorang lagi pemain, Muhamad Afiq Azuan, 21, turut cedera terkena panahan petir berkenaan.

Difahamkan Petrovski yang ‎sebelum ini pernah diturunkan sebagai penjaga gol kedua Melaka United ketika menentang Negeri Sembilan, sedang menjalani latihan bersama skuad Piala Presiden Melaka United di Padang 10 di Kompleks Sukan Krubong ketika itu.

Menurut Pengurus Pasukan Piala Presiden, Khairi Anuar Ahmad, jurulatih telah mengarahkan pemain memberhentikan latihan kira-kira pada jam 5 petang apabila hujan lebat secara tiba-tiba turun.

Menurutnya, ketika pemain hendak ‎meninggalkan padang, kilat dan dentuman guruh pertama mula berlaku berhampiran kumpulan beberapa pemain pertahanan, fisioterapis dan jurulatih penjaga gol yang sedang berada berhampiran kawasan tiang gol.

"Yang paling hampir kepada kilat ‎itu adalah Stefan (Petrovski) dan Afiq. Semuanya terjadi dengan sekelip mata dalam pada mereka mahu meninggalkan padang atas arahan jurulatih," katanya di sini ‎hari ini.

Menurut Khairi Anuar, walaupun ‎terkena pancaran kilat berkenaan, fisioterapis yang turut berada di tempat kejadian terpaksa menguatkan diri membantu Petrovski apabila beliau didapati tidak sedarkan diri.

Menurutnya, bantuan pernafasan ‎mulut ke mulut (CPR) terus diberikan kepada Petrovski sebelum beliau dikejarkan ke Hospital Melaka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Seri  Idris Haron berkata, ibu bapa serta keluarga  Petrovski sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihak MUSA juga telah menyediakan tiket penerbangan untuk  keluarga beliau datang dari Australia dan Portugal dengan secepat mungkin.

"Buat masa ini, kita masih menanti laporan terkini mengenai Petrovski. Saya meminta semoga semua berdoa yang Stefan akan memiliki kekuatan untuk mengharungi dugaan ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Melaka United menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat malam semalam.

Idris yang diiringi isterinya, Datin Seri Fadilah Abdullah kemudiannya turut meluangkan masa melawat Petrovski dan Muhammad Afiq di Hospital Melaka.

Sinar Harian 6 April 2016


Penjaga gol Melaka United parah dipanah petir

BANDARAYA MELAKA - Penjaga gol simpanan pasukan Melaka United cedera parah selepas dipanah petir semasa satu sesi latihan di Krubong di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang lagi pemain, Muhammad Afiq Azuan, 21, dilaporkan turut cedera.

Menurut Pengurus skuad Piala Presiden Melaka Khairi Anuar Ahmad, Marco Stefan Petrovski, 18, seorang pemain naturalisasi Melaka United sedang menjalani latihan ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu.

Menurutnya, sehingga kini, Marco masih  belum sedarkan diri dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

"Muhammad Afiq pula berada dalam keadaan sedar dan kini turut dipantau di Hospital Melaka," katanya.

Wartawan Sinar Harian
5 April 2016


Hadiah 'dari' Marco

MARIE menyerahkan beg mengandungi barang milik anaknya kepada rakan sepasukan dari Piala Presiden Melaka.

Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Satu beg pakaian dan kelengkapan bola sepak milik penjaga gol simpanan Melaka United (MU) Marco Stefan Petrovski, 18, diserahkan ibunya, Marie Lupang, 40-an, kepada rakan sepasukan anaknya selepas upacara penghormatan terakhir mendiang di Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini, semalam.

Marie menyerahkan beg mengandungi kelengkapan milik mendiang seperti sarung tangan, but dan pelbagai lagi barangan lain kepada wakil pemain skuad Piala Presiden Melaka Muhammad Aliff Mazlan, 21.

Jasad mendiang kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk diterbangkan ke Sydney, Australia.

Muhammad Aliff berkata, Marco disifatkan sebagai rakan sepasukan yang sangat baik dan mendiang juga kerap menghadiahkan barangan sukan miliknya kepada orang lain walaupun baru sahaja dibeli.

“Saya sendiri kerap menerima hadiah daripada mendiang, dia pernah berikan saya beberapa pasang but pelbagai jenama yang diperolehnya.

“Lebih mengharukan mendiang turut berkongsi wang bonus kemenangan dengan rakan sepasukan lain termasuk mereka yang tidak beraksi pada perlawanan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rakan baik mendiang, Jasmir Mehat, 22, yang hadir memberikan penghormatan terakhir kelihatan sangat sedih dan sesekali menyapu linangan air mata di atas pemergian sahabatnya.

“Pada hari kejadian sebelum mendiang dipanah petir, dia memberitahu mahu melihat saya beraksi buat kali pertama untuk skuad MU pada perlawanan menentang T-Team kerana sebelum ini saya hanya pemain simpanan.

“Seminggu sebelum kejadian, dia ajak saya tidur di rumahnya kerana sunyi tinggal seorang diri, jadi saya penuhi permintaannya. Kami menghabiskan masa dengan bermain permainan video dan keluar makan.

“Saya juga baru sahaja menerima kiriman pos mengandungi topi dihadiahkan ibu mendiang kepada saya.

“Sebelum ini, Marco kerap menceritakan mengenai pengalaman kami berdua yang kerap menghabiskan masa bersama-sama sebagai rakan baik,” katanya.

Terdahulu, suasana hiba menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Melaka dengan kehadiran keluarga Marco, rakan sepasukan serta pengurusan pasukan MU, semalam.

myMetro 8 Mei 2016 




0 comments:

Post a Comment