May 5, 2016

Pengait kelapa sawit maut nahas

Mayat Suhazlie tiba untuk dibedah siasat di Hospital Kemaman kira-kira jam 3.15 petang semalam. Gambar kecil: Subiar

KEMAMAN - “Ketika tiba di lokasi kejadian, terkejut pakcik tengok motosikal arwah melekat pada kereta dan mayatnya waktu itu sudah ditutup,” kata bapa kepada pengait kelapa sawit, Suhazlie Subiar, 36, yang maut dalam nahas di Kilometer 170.6 Jalan Jerangau-Jabor, di sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Subiar Sulong, 57, berkata, ketika kejadian anaknya dalam perjalanan untuk kembali semula ke ladang bagi menyambung kerja mengait buah kepala sawit selepas pulang makan di rumah mereka di Bandar Cheneh Baharu.

Kata bapa lapan anak itu, semasa anak sulungnya  itu balik ke rumah dia juga turut berada di rumah namun mereka berdua tidak sempat berbual panjang.

“Arwah balik ke rumah untuk makan dan selepas selesai makan dia keluar semula bekerja sebab mungkin masih banyak lagi buah yang tak dikait.

“Tapi waktu itu arwah nampak macam biasa saja, tak nampak sebarang perubahan  pelik pada dirinya. Namun, semasa pakcik dalam perjalanan ke tempat kerja, pakcik tiba-tiba dapat panggilan telefon yang memaklumkan arwah ditimpa kemalangan,” katanya yang merupakan seorang peneroka dan turut bekerja sebagai buruh di Kuantan.

Katanya, terperanjat dengan khabar buruk itu, dia segera bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat sekujur tubuh anaknya itu yang sudah tidak bernyawa.

Subiar berkata, anaknya itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan patah di beberapa bahagian anggota badan.

“Pakcik anak ramai, jadi selain bergelar peneroka pakcik juga buat kerja lain untuk tambah pendapatan keluarga dan jarang dapat masa berbual panjang dengan anak-anak. Pakcik masih ada tiga anak yang bersekolah. Sebagai anak sulung, arwah banyak bantu ringankan beban pakcik. Kehilangan arwah cukup kami rasai,” katanya.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah Perodua Alza yang sedang berkonvoi.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu-Kuantan sementara konvoi itu menghala ke Kuala Terengganu.

Akibat pertembungan berdepan itu, pemandu Perodua Alza berumur 27 tahun berasal dari Kelantan alami kecederaan ringan.

Dalam pada itu, Subiar melahirkan rasa terkilan kerana masih ada orang yang sanggup mengambil kesempatan saat anaknya itu ditimpa kemalangan

“Dompet anak saya hilang di lokasi kejadian disyaki dicuri. Perbuatan tak berperikemanusiaan itu susahkan kami untuk pengurusan jenazah sebab semua dokumen penting milik arwah terutama kad pengenalan ada dalam dompetnya itu,” katanya kecewa.

Mayat mangsa tiba di Hospital Kemaman pada jam 3.15 petang untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuang.

Wartawan Sinar Harian
2 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment