May 21, 2016

Pemuda maut, kereta hilang kawalan

Keadaan kenderaan yang remuk setelah terlibat nahas di Jalan Kluang - Batu Pahat.

BATU PAHAT – Seorang pemandu kereta jenis Proton Wira maut setelah terlibat dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 34.2, Jalan Kluang – Batu Pahat, berhampiran Ayer Hitam.

Dalam kemalangan jam 4 petang semalam, turut membabitkan tiga kenderaan lain iaitu dua lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa kemalangan melibatkan pemandu kereta dikenali sebagai Rahmad Ibrahim, 22.

Menurutnya, kemalangan turut membabitkan dua lori jenis Isuzu tiga tan dan lori jenis Hino serta Proton Wira dinaiki mangsa.

"Kemalangan ini berlaku sewaktu mangsa yang berasal dari Simpang Renggam sedang dalam perjalanan menghala ke Air Hitam.

"Bagaimanapun ketika melalui lokasi kejadian, kereta dipandu Rahman secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas memasuki lorong bertentangan,” katanya.

Din berkata, dalam masa sama datang sebuah lori jenis Isuzu melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kenderaan mangsa.

Menurutnya, akibat daripada kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Malah sebuah lagi lori jenis Hino dan pacuan empat roda jenis Hilux turut terbabit dalam kemalangan itu apabila cuba mengelak daripada merempuh kenderaan mangsa.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat dan dokumentasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment