May 21, 2016

Pelakon tambahan maut nahas

Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Jerantut untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia. Gambar kecil: Muhammad Imran.

JERANTUT - Hasrat pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut, membuat kejutan untuk guru di sekolahnya sempena sambutan Hari Guru, Jumaat ini, tidak kesampaian   apabila dia maut dalam nahas di kawasan perumahan Sungai Jan, di sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 8.15 malam itu, Muhammad Imran Rasip, 17, yang menunggang motosikal bersama seorang rakan dalam perjalanan untuk membuat latihan persembahan.

Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan ke kawasan perumahan tersebut.

Mangsa yang juga pelakon tambahan drama Cinta Si Wedding Planner disiarkan stesen televisyen tempatan, meninggal dunia pada kira-kira jam 10 malam, ketika menerima rawatan di Hospital Jerantut akibat kecederaan parah pada kepala dan badannya.

Manakala, rakannya yang juga pelajar sekolah sama dan penunggang sebuah lagi motosikal, cedera parah dan dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan.

Guru mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa aktif dalam kelab drama dan teater sekolah serta dianggap pelakon sekolah yang berbakat dan mempunyai masa depan cerah dalam bidang lakonan.

“Mungkin dia (mangsa) mahu persembahannya berjalan lancar, lalu mengambil inisiatif sendiri bersama rakan lain untuk menjayakan kejutan Jumaat ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Anak kedua daripada empat beradik itu amat aktif dalam bidang drama dan teater di sekolahnya dan sering mengadakan persembahan di peringkat sekolah dan daerah.

Mangsa juga pernah dinobatkan sebagai pelakon terbaik Semarak Teater Negeri Pahang pada 2015 dan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Negeri Sembilan, tahun lalu.

Sementara itu, kakak mangsa, Nur Farhana Rasip, 19, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, Muhammad Imran menghantar mesej menerusi media sosial kepada guru dan rakan sekolahnya.

“Dalam mesej tu, adik turut meminta mereka sedekahkan Al-Fatihah jika dia mati esok.

“Dia juga minta dihalalkan segala makan minum dan ilmu yang diajar gurunya,” katanya.

Jenazah mangsa dituntut keluarganya dan dikebumikan selepas Asar di kampung bapanya di Tanah Perkuburan, Kampung Teluk, Kuala Linggi, Melaka.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail, mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment