May 21, 2016

Pelajar cekik kekasih di tandas sekolah

NOORZAINY

BAHAU - Seorang pelajar tingkatan lima bertindak mencekik kekasihnya yang merupakan pelajar tingkatan dua dari sekolah sama selepas mangsa enggan memberikan gambar lucahnya dalam kejadian di sebuah sekolah, di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa turut bertindak memutuskan hubungan dengan suspek kerana tidak tahan dengan permintaan suspek.

“Insiden tersebut berlaku di sebuah tandas sekolah kira-kira jam 2.40 petang yang mana suspek turut mengugut untuk menyebarkan gambar lucah milik mangsa.

“Kemudian suspek berjumpa sekali lagi dengan mangsa pada sebelah petangnya di sebuah gelanggang bola keranjang lalu mencabulnya pula,” katanya selepas mengesahkan kejadian laporan semalam.

Keluarga mangsa seterusnya membuat laporan polis kelmarin jam 5.21 petang di Balai polis Bandar Seri Jempol dan suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 354/506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di gugusan Felda Palong ditahan selepas dipercayai merogol teman wanitanya berusia 15 tahun.

“Mangsa dan suspek rakan di sekolah  sama di kawasan Felda Palong. Dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini, suspek bertindak masuk ke bilik mangsa lalu merogolnya lebih kurang jam 8.30 malam.

“Walau bagaimanapun, mangsa pernah melakukan hubungan seks dua kali sebelum ini namun merahsiakannya, dan kali ini memaklumkan hal itu kepada keluarganya lalu laporan polis dibuat,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek seterusnya berjaya ditahan selepas keluarga mangsa membuat laporan polis kelmarin.

Wartawan Sinar Harian
21 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment