May 5, 2016

Pekerja hotel maut nahas

KUANTAN – Seorang pekerja hotel maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah jip di Jalan Haji Ahmad, Dewan Badminton Semambu, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Ariff Mohamad Nahar, 23, berasal dari Taman Bukit Rambai, Melaka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ketika kejadian kira-kira 12 tengah malam itu jip dipandu Steven Wong, 25, dalam perjalanan menghala ke bandar Kuantan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu terbabas memasuki laluan bertentangan ketika melalui jalan berselekoh.

“Akibatnya, jip itu melanggar motosikal ditunggang mangsa di arah bertentangan. Rempuhan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan sebelum diseret sejauh 10 meter,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian menghulurkan bantuan tetapi mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wartawan Sinar Harian
2 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment