May 26, 2016

Pak Do hanya bercahayakan lilin

Pak Do (kiri) bersama jirannya Nordin Isma Yatim yang turut mendiami rumah bekas pelombong di Kampung Jelihang, Sungai Lembing.

DIANA SURYA ABD WAHAB

KUANTAN - Melihatkan susuk tubuhnya yang sihat, cergas serta sikapnya yang peramah, pasti tiada siapa menyangka Abdul Samad Saad, 79, dari Kampung Jelihang, Sungai Lembing, di sini, tinggal bersendirian dalam pondok kecil yang daif.

Lebih dikenali sebagai Pak Do, warga emas itu bagaimanapun tidak pernah merungut dengan kehidupannya yang serba kekurangan.

Dia yang merupakan bekas pelombong bijih timah berkata, rumah didiami itu tidak dapat dibina sempurna  kerana beberapa faktor termasuk pengurusan dan kewangan.

“Pada awalnya tapak rumah ini rumah kongsi bujang pelombong. Dulu ketika masih ada aktiviti perlombongan segalanya lengkap, namun setelah ditutup saya ambil keputusan terus tinggal di sini.

“Baru-baru ini ada pihak robohkan rumah asal dan bina sebuah rumah kecil untuk saya berteduh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya semalam.

Pak Do berkata, kesusahan hidupnya mendapat perhatian bekas Ketua Kampung, Tengku Nordin Tengku Rashid yang berusaha mendapatkan bantuan daripada GiatMara untuk membina rumah lebih sempurna.

Pak Do berkata, rumahnya yang dibina pada 2012 itu semakin uzur.

Katanya, baru-baru ini atap rumahnya rosak ditimpa pokok dan masih bocor walaupun dibaik pulih dengan bantuan orang kampung.

“Rumah ini tiada elektrik sejak siap lagi, jadi tak ada apa boleh dibuat sebab itu saya lebih selesa lepak di pekan Sungai Lembing sepanjang hari dan pulang sekitar jam 4 petang.

“Bila malam, saya pasang lilin hingga pagi dan kalau diikutkan memang saya nak bekalan elektrik sebab keadan di sini sangat gelap pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, selain itu dia juga tidak memiliki bilik air walaupun kini mempunyai bekalan air bersih.

Pak Do berkata, dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan.

Penduduk setempat, Amran Ahmad, 41, keadaan tempat tinggal Pak Do sememangnya menyedihkan.

“Hampir setiap hari jika lapang saya jenguk dia kerana kesian tengok keadaan rumahnya.

“Saya harap ada orang sudi baiki dan sedia kemudahan supaya dia dapat hidup lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, Pak Do sering berjumpa dengannya namun tidak pernah mengadu mempunyai masalah rumah.

“Saya kenal penghuni ini, dia lelaki bujang yang sudah lama menetap di Sungai Lembing. Sebenarnya kita sudah tahu masalah yang menyebabkan rumahnya tak dibina sempurna.

“Namun dari segi tak ada api dan air memang tak pernah dimaklumkan dan Pak Do sendiri tak pernah mengadu. Jadi sekarang kita akan proses bekalan elektrik dan air untuk dimasukkan ke rumahnya,” katanya.

Sinar Harian
26 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment