May 13, 2016

Operator kilang maut dalam kemalangan

JOHOR BAHRU - Seorang operator kilang maut dalam perjalanan ke tempat kerja di Senai apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 44.8, Lebuh Raya Senai-Desaru, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz yang mengesahkan kejadian itu berkata kemalangan pukul 7 pagi itu menyebabkan penunggang motosikal, Nordin Jaafar, 38, dari Pasir Gudang cedera parah dan maut di tempat kejadian.

"Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga FLX dari arah Desaru dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Nordin dan sebuah kenderaan lain," kata beliau menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jokhiri berkata akibat pertembungan itu, motosikal yang ditunggangi mangsa terjatuh ke bahu jalan dan menyebabkan mangsa tercampak sehingga mengakibatkan kecederaan parah pada leher serta kepala.

Sementara itu, dua pemandu kenderaan yang terlibat, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat Nordin dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat. - Bernama

11 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment