May 26, 2016

OKU ditinggalkan ahli keluarga

Mohd Hamidi (tengah) dan Khairu Asri melihat keadaan Rahim yang terpaksa menumpang di rumah warga asing.

Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) terpaksa hidup merempat di rumah seorang warga asing di Parit Haji Nor, Jalan Kluang setelah ditinggalkan ahli keluarganya sejak beberapa bulan lalu.

Lebih menyedihkan, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati lelaki terbabit  pernah menerima bantuan bulanan daripada pihak berkenaan, namun terpaksa dihentikan kerana faktor penyalahgunaan oleh warisnya berikutan bantuan tidak sampai kepada penerima sepatutnya.

Ketika kunjungan JKM bersama Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat ke kediamannya, turut mendapati lelaki terbabit, Rahim Adam, 54, berada dalam keadaan tidak terurus.

Pegawai JKM daerah, Khairu Asri Ismail berkata, Rahim juga menghidap penyakit urat saraf di kedua-dua belah kakinya menyebabkan dia tidak dapat bergerak normal seperti orang lain.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati Rahim dahulunya tinggal di Taman Nira dan pernah menerima bantuan bulanan JKM, namun wang tersebut disalahgunakan ahli keluarganya.

“Disebabkan kes tersebut, bantuan dihentikan setahun lalu, malah lelaki ini pernah ke pejabat JKM Batu Pahat untuk memberikan keterangan berhubung bantuan berkenaan.

“Namun belum sempat keterangan lanjut diberikan kepada pegawai bertugas, mereka (ahli keluarga Rahim) telah menghilangkan diri,” katanya.

Menurutnya, Rahim akan ditempatkan di sebuah penempatan sementara di daerah ini, sementara siasatan lanjut dilakukan dan bagi memastikan kebajikannya lebih terjaga serta dalam pemantauan pihak bertauliah.

Katanya, pihak JKM juga akan menilai semula bantuan yang layak diterimanya kerana Rahim tidak mampu bekerja bagi menampung kehidupan seharian.

“Dia kemungkinan layak menerima bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), namun beberapa perkara masih perlu diteliti kerana dia kini ditempatkan di penempatan sementara.

“Malah, dia juga masih mempunyai anak iaitu seramai tujuh orang dan penelitian berhubung perkara itu juga harus diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Kebajikan Umno Bahagian Umno Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, Rahim sudah beberapa kali dijumpai pihaknya hidup merempat termasuklah di sebuah tokong.

Katanya, pihaknya juga telah memanjangkan masalah Rahim kepada pihak JKM sehingga pernah menerima bantuan sebelum ini.

“Pihak Biro Kebajikan mengharapkan kepada orang ramai yang terjumpa atau terlihat mereka yang hidup merempat agar dapat memberikan maklumat berkaitan.

“Sebagai contoh, lelaki yang kita temui ini mempunyai tujuh anak tetapi hidup dalam keadaan tidak terurus,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian
26 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment