May 21, 2016

Nenek sesak nafas diselamatkan

Anggota bomba dan penyelamat memberi bantuan oksigen kepada mangsa berusia 74 tahun.

NILAI – Tindakan pantas anggota bomba memberi bantuan oksigen telah menyelamatkan seorang nenek berusia 74 tahun yang mengalami sesak nafas selepas kereta dinaikinya terlibat kemalangan di susur masuk Tol Nilai, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 12.10 malam itu berlaku selepas kereta jenis Perodua Alza dinaiki S.Suppamah bersama anaknya R Mathivani,56 dan cucu P Velindran,26 hilang kawalan lalu berpusing sebelum melanggar bahu jalan.

Difahamkan keluarga terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke rumah saudaranya di Nilai sebelum membawa warga emas terbabit menjalani rawatan susulan sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya yang menerima maklumat berkenaan kejadian berlaku bergegas ke lokasi bersama 10 pegawai dan anggota.

“Sejurus sampai kesemua mangsa telah pun dikeluarkan orang awam, namun kita dapati seorang wanita warga emas mengalami sesak nafas akibat kejadian berlaku.

“Kita telah mengambil tindakan pantas memberi bantuan oksigen sebelum menghantarnya ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban menggunakan ambulans Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, difahamkan ketika kejadian itu kereta tersebut dipandu oleh cucu mangsa namun dua beranak terbabit selamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Wartawan Sinar Harian
17 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment