May 8, 2016

Nenek sakit jantung bergelut dalam kemiskinan

SALIMAH (dua dari kiri) menjaga remaja OKU sebagai upah sambilan.

Johor Bahru: “Tangan kanan saya menggigil setiap masa kerana masalah jantung namun saya kuatkan semangat untuk menjaga cucu sambil mengambil upah menjaga remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) bagi menambah pendapatan keluarga,” kata seorang nenek, Salimah Ninggal, 63.

Salimah yang tinggal di Rumah Pangsa Sri Orkid, Taman Ehsan Jaya di sini, berkata selain masalah jantung, dia juga menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Menurutnya, tanpa mempedulikan tahap kesihatannya, dia sanggup mencari rezeki dengan menjaga remaja OKU berkenaan dengan upah RM230 sebulan.

Katanya, ia berikutan suaminya, Mohd Jamil Ismail, 63, tamat kontrak pekerjaan di sebuah syarikat perkapalan di Pasir Gudang sejak empat bulan lalu menyebabkan keluarga mereka kehilangan pendapatan kira-kira RM1,000.

“Usaha suami untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan juga tidak berjaya kerana faktor usia. Buat masa ini, kami tinggal bersama anak perempuan, Norasitah yang berumur 38 tahun namun dia juga keluar bekerja untuk menyara kami selain empat anaknya berusia enam tahun hingga 13 tahun.

“Norasitah berstatus ibu tunggal, dia memperoleh pendapatan RM900 sebulan dengan bekerja sebagai operator kilang dan jumlah itu jauh daripada mencukupi untuk menampung keluarga,” katanya.

Salimah berkata, pendapatan Norasitah digunakan bagi menampung kos tambang van sekolah berjumlah RM200 sebulan, RM300 bagi membayar ansuran bulanan rumah selain RM200 bagi melunaskan bil utiliti.

Oleh itu, Salimah mengambil keputusan untuk terus menjaga remaja OKU berkenaan yang dijaganya sejak tiga tahun lalu.

“Saya sudah biasa menjaganya namun kini mudah letih kerana masalah jantung. Saya juga perlu menjalani pemeriksaan susulan di hospital hujung minggu ini,” katanya.

Salimah berkata, dia juga terpaksa membuang rasa malu setiap kali menerima sumbangan seperti beras dihulurkan kenalan.

“Kami tidak mampu menikmati makanan enak. Biasanya, kami hanya makan berlaukkan telur, kicap dan ikan bilis,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi talian 019-7998443.

myMetro 7 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment