May 6, 2016

Nelayan maut melecur ketika selamatkan isteri

Anggota bomba membuat pemeriksaan di bahagian dapur mangsa. - Foto Bomba dan Penyelamat.

GOKINA MORGANAN

SUNGAI PETANI - Seorang nelayan maut akibat melecur teruk manakala isterinya cedera di bahagian tangan dan kaki dipercayai selepas tong gas di rumah mereka, berdekatan Tokong Cina, di Taman Sungai Lalang, di sini meletup malam semalam.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 10 malam itu, isteri mangsa dipercayai sedang memasak di ruang dapur.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hafizul Ishak berkata mangsa Othman Ramli, 57  melecur hampir 50 peratus daripada keseluruhan badan, manakala isterinya melecur di bahagian tangan dan kaki.

Beliau berkata, lima jentera bomba bersama 15 anggota dari balai Sungai Petani bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.22 malam semalam, dan sebaik tiba, api yang merebak itu sudah dipadamkan orang ramai.

"Apabila tiba dilokasi api sudah dipadamkan oleh orang awam dan didapati dua mangsa melecur juga sudah dibawa keluar  ke tempat yang selamat.

"Kedua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan bantuan  ambulans Perkhidmatan Anggota dan Penyelamat Paramedik (EMRS) bomba,"katanya.

Menurutnya,  kebakaran hanya melibatkan bahagian dapur rumah sahaja.

"Manakala, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,"katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi Sinar Harian,anak mangsa berkata, bapanya Othman disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada petang hari ini, ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Manakala, ibunya dibenarkan pulang malam semalam, selepas  menerima rawatan di hospital berkenaan.

Othman dipercayai cuba menyelamatkan isterinya selepas mendengar bunyi letupan dan melihat api mula marak di ruang dapur rumah yang sebelum kejadian dalam persiapan untuk turun ke sungai untuk menangkap udang.

Beliau juga difahamkan meminta isterinya membantunya mengisi petrol ke dalam tangki enjin bot akan digunakan semasa menangkap udang.

Sinar Harian
5 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment