May 5, 2016

Nasib anakku

Rohfizan menjaga dua anaknya yang mengalami penyakit kronik.

Rosli Mansor Ahmad Razali
am@hmetro.com.my

Ipoh: “Saya rela berkorban demi memastikan dua anak saya pulih,” kata Rohfizan Abd Karim, 38, yang menjaga dua anaknya yang berusia lima bulan dan lima tahun yang terlantar akibat leukemia dan masalah saraf tunjang.

Menurutnya, Nur Iman Nasuha, 5, hanya terlantar di ruang tamu rumah selepas disahkan mengidap leukemia oleh Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur, pada Januari 2015.

Katanya, Mohd Fikri Firdaus, lima bulan pula menderita masalah saraf tunjang sejak dilahirkan.

“Nur Iman sebelum ini cergas dan periang sebelum menderita penyakit kronik itu.

“Dia sudah menjalani enam kali rawatan kimoterapi dan saya tidak tahu apakah masa depannya nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi, di sini, semalam.

Menurutnya, Mohd Fitri Firdaus pula disahkan mengalami masalah saraf tunjang sejak lahir dan kesan daripada penyakit itu kaki kanannya mengalami kecacatan serius.

“Apa yang membimbangkan sekiranya lubang kecil berdekatan dengan duburnya membesar dan jika tidak dirawat dengan segera akan menimbulkan komplikasi ke anggota badan.

“Setakat ini anak saya itu dalam pemerhatian doktor dan akan mendapatkan rawatan lanjut dalam masa terdekat,” katanya.

Rohfizan berkata, isteri, Norfadzillah Pak Adib, 28, dan dua lagi anaknya, Nurfarah Najwa, 11 dan Mohd Aqil Mustaqim, 3, terpaksa mengehadkan perbelanjaan dan lebih menumpukan hal perubatan.

“Mujur isteri saya bekerja, setidak-tidaknya mampu meringankan beban kami.

“Saya pula tidak dapat menumpukan kerja kerana terpaksa menjaga dua anak yang sakit dan saya hanya mampu memperoleh pendapatan RM350 sebulan”, katanya yang bekerja sendiri sebagai pemesin rumput bagi menyara keluarga.

Menurutnya, hasil pendapatan isterinya yang bekerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tidak mencukupi untuk perbelanjaan mereka sekeluarga.

Difahamkan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) memberi bantuan RM150 selama 12 bulan bagi membantu kos rawatan Nur Iman Nasuha dan Rohfizan selain menerima bantuan bulanan Baitumal RM250 sebulan.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan keluarga itu boleh menghubungi mereka di alamat A-10-2 Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi, Ipoh.

myMetro 1 Mei 2016


Bapa jaga dua anak sakit kronik

Rohfizan menunjukkan kepada Mohd Rawi (kiri) keadaan anak bongsunya yang menghidap sakit saraf tunjang sambil diperhatikan Nur Iman Nasuha yang memakai penutup mulut.

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF

IPOH – Seorang bapa terpaksa mengorbankan kerja demi menjaga dua anak kecilnya yang menderita sakit kronik sejak setahun lalu.

Rohfizan Abd Karim, 38, yang bekerja mengambil upah memotong rumput reda dengan keadaan itu kerana kepentingan dan kesihatan anaknya melebihi segala-galanya.

Menurutnya, anak keduanya, Nur Iman Nasuha, 5, menghidap leukemia manakala anak bongsunya, Mohd Fitri Firdaus, lima bulan, pula disahkan mengalami sakit saraf tunjang sejak lahir.

“Nur Iman Nasuha disahkan menghidap leukemia sejak setahun lalu selepas mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat benjol di dahi dan leher. Sejak itu, keadaan kesihatan dia mula tidak menentu.

“Dia sudah menjalani lima rawatan kimoterapi dan mengambil ubat yang diberikan selain memakai penutup hidung dan mulut setiap masa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pangsapuri Seri Kepayang di sini, semalam.

Rohfizan berkata, pendapatannya sekitar RM350 sebulan tidak cukup untuk menampung keperluan makanan anak-anaknya walaupun isterinya, Norfadzillah Pak Adib, 34, bekerja sebagai Pembantu Perubatan di HRPB.

“Dengan gajinya itu, perbelanjaan bagi menampung kedua-dua anak kami memang tidak mencukupi. Tambahan pemakanan Nur Iman Nasuha perlu disediakan dengan betul untuk memastikan penyakitnya itu tidak melarat.

“Bagi Mohd Fitri Firdaus pula, kami sekeluarga masih menunggu keputusan untuk rawatan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga ada menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) berjumlah RM250 selain Majlis Kanser Nasional (Makna).

“Saya harap keprihatinan orang ramai dapat membantu kami sekeluarga terutama dari segi kewangan untuk keperluan makanan anak-anak,” katanya.

Rohfizan turut mempunyai dua anak lain iaitu Nur Farah Najwa, 11, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Kepayang dan anak ketiganya, Mohd Aqil Mustaqim, 3, yang tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah turut menyampaikan bantuan makanan dan mengharapkan orang ramai dapat menghulurkan bagi meringankan beban keluarga itu.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Norfadzillah Pak Adib, 0810029000303037 atau hubungi Rohfizan di talian 012-4799819.

Sinar Harian 12 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment