May 11, 2016

Murid lembam melecet dipulas telinga

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang murid perempuan Tahun Satu yang mengalami masalah lembam melecet belakang cuping telinga kiri akibat dipulas guru wanita kerana gagal mengikut arahan di sebuah sekolah rendah, di sini, semalam.

Kejadian Nur Shazlini Mohd Sukri, 7, disedari ibunya Nadia Hamzah, 35, selepas anak ketiga daripada enam beradik itu mengadu sakit di bahagian telinganya kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Berikutan kejadian, ibunya pergi ke sekolah terbabit untuk mendapatkan penjelasan sebelum pihak sekolah memohon maaf di atas kejadian yang berlaku.

Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk mendapatkan rawatan akibat luka yang dialami anaknya sebelum doktor memaklumkan ada kesan cubit di telinga anaknya.

"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Langgar, di sini, berhubung kejadian kerana bimbang ia akan berulang walaupun guru wanita berusia 40-an itu menghantar kiriman SMS memohon maaf ," katanya.

myMetro 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment