May 26, 2016

Muntah dalam kelas

Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

Gua Musang: Ujian Pertengahan Tahun yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh 1&2, di sini, semalam tergendala apabila 30 murid termasuk seorang guru wanita yang hamil enam bulan mengalami muntah dan cirit-birit.

Difahamkan, simptom keracunan makanan itu dialami mereka tiga jam selepas menikmati sarapan di kantin sekolah antara jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi.

Sebelum itu, mangsa mendakwa makan nasi kerabu bertumis disediakan sebagai antara juadah tetap di kantin berkenaan.

Mereka dikejarkan ke Pusat Kesihatan Bandar Chiku, namun 10 daripadanya termasuk guru wanita berkenaan dirujuk ke Hospital Gua Musang (HGM), di sini kerana mengalami simptom berlarutan.

Mangsa terakhir dirujuk ke HGM pada jam 6 petang, iaitu Mohd Azri Zainudin, 8, dan Mohd Khairul Ikhwan Mohd Zawawi, 8, yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh.

Menurut Mohd Azri, dia bersama rakannya kerap makan nasi kerabu di kantin sekolah kerana murah, namun tidak menyangka ia mendatangkan kemudaratan, semalam.

“Selalu makan tak rasa sakit, tapi tadi (semalam) selepas tiga jam makan dan sedang jawab kertas ujian, tiba-tiba saya rasa nak pitam dan muntah tak berhenti dalam kelas.

“Saya pun tak sempat habis menjawab kertas itu dan cikgu segera bawa ke pusat kesihatan serta hubungi ibu,” katanya di HGM, di sini, semalam.

Murid tahun dua itu masih menerima rawatan kecemasan di HGM setakat 8 malam semalam kerana muntah dan cirit-birit berlarutan.

Ibu mangsa tahun satu, Afini Salleh, 25, memaklumkan terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak sekolah memberitahu anak sulungnya, Putra Aiman Iskandar, 7, muntah dalam kelas.

“Saya jadi hairan kerana kejadian begini tak pernah berlaku dan segera ke sekolah untuk melihatnya.

“Lebih mengejutkan apabila bukan anak saya sahaja, tetapi ramai yang berkeadaan demikian. Ada yang memberitahu anak jadi begitu kerana makan nasi kerabu di kantin,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Gua Musang Muhammad Zahari Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Beliau berkata, 10 mangsa termasuk guru wanita dikejarkan ke HGM untuk menerima rawatan, manakala 20 murid lain dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Pusat Kesihatan Bandar Chiku.

“Kami masih menyiasat punca kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia boleh memudaratkan kesihatan murid,” katanya.

myMetro 26 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment