May 23, 2016

'Mimpi buruk' di rumah pemulihan dadah

SAAT melangkah kaki masuk ke sebuah pusat pemulihan dadah persendirian berusia lebih sedekad, yang terletak di sebuah negeri di Semenanjung, hati bagai tertarik melihat kehijauan dan ketenangan di sekitar kawasan itu.

Ia umpama suatu suasana yang sesuai untuk sesi pemulihan anak muda yang terjebak dalam gejala keruntuhan akhlak seperti najis dadah.

Namun, itu cuma gambaran awal yang menyambut waris dan penghuni baru yang akan menjalani rawatan pemulihan.

Segala mimpi buruk bermula saat malam pertama di pusat berkenaan.

Beberapa waris penghuni pusat terbabit mengadu wujudnya layanan yang tidak memuaskan dalam kalangan penghuni yang mendapatkan rawatan pemulihan di situ.

Beberapa aduan diterima, antaranya penghuni baru dibuli penghuni lama, dikurung pada waktu malam, ditendang, dipukul sehingga mengakibatkan kecederaan serius, malah terdapat kes kematian dicatatkan.

Difahamkan, pengasas rumah itu yang dipanggil ustaz tidak mengendahkan penghuni yang cedera atau sakit sehinggakan apabila berlaku kematian, dia mendakwa penghuni terbabit enggan makan ubat yang diberi.

Malah, ada waris mendakwa pengasas itu mengamalkan ajaran sesat apabila semua penghuni dipaksa ikut caranya berzikir sambil menari.

Berbekalkan maklumat itu, wartawan Sinar Harian membuat tinjauan untuk mendapat gambaran sebenar.

Pusat pemulihan itu dipercayai mendapat perhatian hampir seluruh negara apabila menerima kunjungan waris dari pelbagai latar belakang yang bertujuan memulihkan anak mereka daripada gejala najis dadah.

Yuran permulaan untuk seorang penghuni baru adalah RM3,550 dan yuran bulanan RM550. Jika waris memerlukan perkhidmatan mengambil penghuni di rumah, mereka dikenakan tambahan RM300.

Personaliti 'ustaz' terbabit yang berserban, biasanya berjubah putih, dan bijak berkata-kata, menambah keyakinan waris bahawa pusat terbabit akan memberikan rawatan pemulihan terbaik melalui keagamaan dan kerohanian.

Walaupun pusat itu diarahkan tutup oleh pihak berkuasa negeri pada Februari tahun lepas kerana melanggar syarat-syarat penubuhan, namun pengasas terbabit tetap meneruskan operasinya, malah masih menerima kemasukan baru dari luar.

Pihak berkuasa negeri berkata, mereka mendapat banyak aduan daripada waris mengenai kegiatan pengasas itu, dan pihak berkuasa masih meneruskan siasatan dan sedang mengumpul bukti kukuh untuk tindakan selanjutnya.

Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2016


'Kami dipaksa ikut ustaz berzikir'

SEORANG bekas penghuni, Ali (bukan nama sebenar), 31, berkata dia dan rakan-rakan lain dipaksa mengikut 'ustaz' itu berzikir dengan diikuti paluan gendang.

“Jika ustaz berdiri, kami kena berdiri, jika dia zikir hingga tertidur, kami tak dibenarkan tidur. Jika tidak kami akan dipukul,” katanya.

Selepas niat solat dengan nada kuat, katanya, mereka diwajibkan beri salam kepada malaikat dan rasul sebelum memulakan solat.

Penghuni yang baru daftar akan dikurung dalam bilik kuarantin yang dihampar tikar mengkuang di waktu malam, dan hanya disediakan tong  untuk buang air.

“Tempat kami dikunci dari luar dan tidak dibenarkan keluar sehingga pagi. Semua penghuni baru akan tinggal di situ dalam tempoh 40 hari atau lebih.

“Bilik itu memuatkan 17 penghuni atau lebih dalam satu-satu masa,’ katanya.

Katanya, bilik itu sangat kotor, seperti kawasan pelupusan sampah, dan berbau hancing.

“Penghuni lama akan memantau pergerakan penghuni baru pada setiap malam dan akan dipukul jika ingkar arahan.

“Jika terdapat kecederaan, bukan saja ustaz tidak memberi rawatan, malah dakwa penghuni buat-buat sakit,” katanya.

“Kami juga tidak diasingkan. Penghuni yang gila pun diletak sebilik dengan penghuni lain,’ katanya.

Ali berkata, ubat untuk penghuni gila selalu dirampas penghuni lama kerana menjadi kebiasaan penghuni gila dibuli.

“Kadang-kadang, ada waris tidak percaya apa yang kami cerita. Mungkin sebab kami nakal, ibu bapa lebih percaya ustaz itu daripada anak sendiri," katanya.

Jika ada waris bertanya kepada pengasas itu tentang apa-apa masalah, anak-anak mereka akan dipukul kerana mengadu.

“Walaupun kami kononnya dikawal ketat oleh penghuni lama, penghuni masih dapat bekalan dadah,” katanya.

Ali berkata, dadah itu datang daripada beberapa orang penghuni lama yang keluar untuk mendapatkannya daripada pembekal.

“Mereka keluar melalui satu lubang rahsia di belakang almari pada waktu malam,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2016


Pusat pemulihan amal ‘nyah jin’

PUSAT pemulihan dan pencegahan dadah milik persendirian yang beroperasi di utara tanah air seolah tidak mempedulikan arahan pihak berkuasa untuk menghentikan operasinya pada Februari tahun lalu.

Difahamkan, arahan penutupan operasi itu dibuat kerana melanggar syarat-syarat penubuhan yang ditetapkan.

Tinjauan mendapati pusat rawatan itu beroperasi dengan bilangan penghuni seramai 35 orang dan pernah mencecah sehingga 76 orang pada 2013.

Kebanyakan penghuninya berasal dari seluruh negara dan juga dari London yang mengetahui kewujudan pusat rawatan itu melalui rakan, sebaran maklumat di aplikasi Whatsapp dan internet.

Pusat itu memulakan operasi pada 1998 secara kecil-kecilan sebelum berkembang ke suatu lokasi yang lebih luas di sebuah daerah.

Pengasasnya, Ali (bukan nama sebenar) mengakui menerima banyak dugaan dan cabaran sepanjang mengusahakan pusat rawatan itu sejak hampir 20 tahun lalu.

“Saya tahu mungkin dah ada yang buat (pusat pemulihan), tapi pemilik bukan beragama Islam. Saya rasa bertanggungjawab untuk kendalikan pusat pemulihan ini kepada orang Islam juga.

“Idea ini wujud semasa saya jadi pendakwah bebas di masjid-masjid di utara. Di situ, saya kenal bermacam-macam jenis orang,” katanya.

Menurutnya, pusat itu mengalami pelbagai cabaran kerana tidak mempunyai pengalaman membuat rawatan dan tiada pengetahuan khusus mengenai dadah.

“Di sini kita cuma bagi kaunseling, tapi cabarannya cukup tinggi. Kita buat cara ‘nyah jin’, maknanya kita buang jin yang hidup dalam badan penghuni . Itu pun terpulang kepada keadaan seseorang.

“Kalau nampak tak boleh buat apa-apa, kita biar dan bagi pengisian agama. Bila dah keluar dari sini nanti, mereka kena isi dengan banyak amalan. Kalau tak ada amalan, ia akan masuk balik,” katanya.

Jelasnya, pengisian agama dan rohani membolehkan mereka hilang ketagihan dadah dalam tempoh tertentu.

“Kalau penghuni yang baru masuk, biasanya akan ada yang bertindak agresif. Mereka ini akan kita kuarantin dalam bilik khas, pada sebelah malam saja dan bukan dikurung sehingga 24 jam.

“Mereka akan dimasukkan juga ke program-program bersama penghuni lain, cuma selepas jam 10 malam mereka akan diletakkan dalam satu bilik sehingga pagi supaya tak melarikan diri,” katanya.

Setiap penghuni yang memasuki pusat pemulihan itu perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM3,000 dan yuran bulanan RM550.

“Di sini mereka diberi makan empat kali sehari. Kita tak ajar mereka soal kemahiran sebab kebanyakan mereka dah ada kemahiran sendiri, cuma kita lebih kepada keagamaan dan spiritual.

“Cabaran memang banyak untuk usahakan pusat pemulihan ini. Ramai masyarakat yang kurang senang dengan kejayaan kita. Dari situlah datangnya sifat-sifat tidak baik, ada fitnah dan tohmahan yang dilemparkan,” katanya.

Ali  berkata, beliau sudah mangli dengan tohmahan itu dan akan tetap terus menegakkan kalimah ALLAH.

“Ada yang kata kami simpan daun ketum dan dadah dalam pusat rawatan ini. Ada yang kata kami dera orang (penghuni), mereka fitnah yang bukan-bukan walhal benda itu tidak betul.

“Baru-baru ini pun AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) buat saringan air kencing terhadap semua penghuni, sorang pun tak sangkut dengan dadah. Tapi keesokan hari ada pula cerita yang bermacam-macam,” katanya.

Ditanya mengenai beberapa amalan ibadah yang dianggap sesat oleh pihak tertentu, beliau menafikannya.

“Kita zikir biasa sebut ‘Laillahaillah’ saja. Kita tak bermuzik, cuma ada gendang rebana untuk syarat tukar daripada ‘Subhanallah Walhamdulillah’ kita ketuk sikit. Ambil syarat saja bunyi ‘pong’, ketuk pun perlahan.

“Lagi pun kita berqasidah, gunalah gendang itu. Tapi ia dah jadi fitnah. Gendang zaman Rasulullah pun ada, nak bangkitkan semangat. Kita suruh mereka berhenti merokok dan isap dadah, takkan itu pun sesat,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, bekas penghuni pusat rawatan tersebut mendedahkan mengenai penderaan dan penyelewengan membabitkan pusat berkenaan.

Sinar Harian 26 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment