May 21, 2016

Meninggal ketika nyanyi lagu kegemaran arwah isteri

Gambar terakhir Allahyarham bersama arwah isteri dan anak-anaknya.

AIMAN SADIQ ABDULLAH

KARAK - Kemeriahan sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak semalam berubah menjadi sedih apabila seorang guru meninggal dunia ketika menyanyi di hadapan pelajar-pelajar.

Cinta Kristal nyanyian Rahim Mahroof, itulah dendangan terakhir seorang guru, Norilhal Ali Ilhal yang secara tiba-tiba rebah ke lantai dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di klinik berdekatan.

Seorang guru di sekolah berkenaan yang enggan dikenali berkata, dirinya tidak menyangka Allahyarham pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya dan kehilangannya amat dirasai oleh guru-guru serta pelajar-pelajar di sekolah tersebut.

Menurutnya, persembahan itu merupakan nyanyian pertama dan terakhir dipersembahkan di khalayak ramai.

“Semalam saya melihat Cikgu Norilhal begitu gembira dan seronok menyambut Hari Guru. Paling saya tidak boleh lupa gelagat dirinya bermain dalam acara sukaneka.

“Paling mengejutkan apabila beliau menawarkan diri membuat persembahan penutup untuk menyanyi di hadapan murid-murid dan cikgu-cikgu yang lain kerana beliau tidak suka untuk membuat persembahan di hadapan khalayak ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata lebih memilukan dan membuat dirinya berduka apabila lagu dinyanyikannya merupakan lagu kegemaran  isterinya yang baru sahaja meninggal sebulan yang lalu.

“Arwah sangat menyayangi isterinya yang baru sahaja meninggal dunia sebulan yang lalu.

“Cikgu Norilhal merupakan seorang pendidik bangsa sejati kerana sangat mementingkan pendidikan dan bersungguh-sungguh dan tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam mendidik murid-muridnya,” katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohamad Azizul Hakim Norilhal, 25, berkata, di dalam Facebook ayahnya, dia ada menyampaikan ucapan Selamat Hari Guru kepada rakan-rakannya .

Ditanya mengenai video ayahnya mendendangkan lagu sempena sambutan Hari Guru, beliau berkata, dia terkejut dan tidak menyangka ayahnya menyanyi di hadapan khalayak ramai.

“Ayah kalau disuruh menyanyi dia mesti tidak mahu menyanyi. Namun, saya tak sangka ayah menyanyi di hadapan khalayak dan menyanyikan lagu kegemaran ibu saya.

“Ayah terlalu rindukan ibu dan persembahannya itu merupakan luah rindu ayah kepada ibu dan sekarang ibu dan ayah telah meninggalkan kami enam beradik,” katanya sambil menitiskan air mata.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Sinar Harian 17 Mei 2016


‘Bantulah mereka teruskan hidup’

Mohamad Azizul Hakim (kanan) dan lima adiknya berbincang dengan penduduk kampung selepas majlis tahlil arwah bapa mereka di Masjid Kampung Karak Setia, kelmarin.

KARAK - Kehilangan tempat bergantung sememangnya memberikan kesan mendalam kepada Mohamad Azizul Hakim Norilhal, 25, dan lima adiknya.

Enam beradik malang itu kini yatim piatu selepas bapa mereka, Norilhal Ali, 54, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak, di sini meninggal dunia ketika sambutan Hari Guru di sekolahnya pada 16 Mei lalu.

Lebih menyedihkan, sebulan sebelum kejadian itu ibu mereka, Suriani Mat Rashid, 46, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kencing manis.

Kini Mohamad Azizul Hakim dan adik-adiknya, Luqman Amirul Hakim, 22, Nuramylia Izzati, 21, Nur Insyirah Husna, 19, Anas Izdihar Hakim, 12, dan Nurul Izzah, 10, tinggal bersama datuk, Mat Rasid Usoh, 76, dan nenek, Kamariah Tan, 73, di Kampung Tok Muda Haji Muhammad, Karak.

Bapa saudara mereka, Muhammad Nasran Abdul Razak, 45, berkata, kesemua anak saudaranya itu kini hilang tempat bergantung.

Menurutnya, hanya Mohamad Azizul Hakim dan Luqman Amirul Hakim bekerja, manakala adik-adik mereka masih belajar.

“Mohamad Azizul Hakim yang sekarang galas tugas sebagai ketua keluarga tetapi dia hanya bekerja secara kontrak di Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor dengan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka adik-beradik.

“Manakala Luqman Amirul Hakim hanya bekerja sambilan di Kedai Rakyat 1Malaysia sementara tunggu keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Datuk dan nenek mereka buat kerja kampung dengan pendapatan tidak menentu. Mereka juga tak berapa sihat dan saya sendiri pun tak berapa sihat dan kuat untuk bantu mereka sepenuhnya,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini semalam.

Menurutnya, dia berharap nasib enam anak saudaranya itu dibela dan pihak berkaitan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban terpaksa ditanggung mereka.

“Mereka sangat memerlukan bantuan dan sokongan masyarakat selepas kehilangan tempat bergantung dan anak-anak arwah ada berkata kepada saya mereka tidak tahu hendak buat apa.

“Itu yang merisaukan kerana saya tak mahu mereka patah semangat untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
20 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment