May 5, 2016

Mayat pekerja kedai tayar dalam longkang

Mayat mangsa ditemui majikannya tertiarap dalam longkang di sini, semalam.

IPOH – Seorang warga emas ditemui mati tertiarap dalam longkang di hadapan deretan kedai di Jalan Raja Permaisuri Mazwin, Taman Rishah, di sini, semalam.

Mayat P K Pathmanathan, 64, yang dipercayai telah meninggal dunia dua hari lalu ditemui majikannya, A Nanthakumar, 55, yang singgah di kedai tayar miliknya untuk mengambil dokumen kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Nanthakumar berkata, kelmarin dia mendapati motosikal mangsa diletakkan di hadapan premisnya sedangkan semalam cuti Hari Pekerja.

Menurutnya, kali terakhir dia melihat mangsa pada Sabtu lalu, jam 6.30 petang ketika premis itu ditutup.

“Saya berasa tidak sedap hati dan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai lebih kurang jam 10 malam semalam (kelmarin) untuk melihat jika berlaku kejadian tidak diingini di sekitar premis.

“Rakaman CCTV menunjukkan pekerja saya sedang menolak motosikalnya di hadapan kedai dan selepas itu saya tidak dapat melihat apa-apa kerana mungkin dia (mangsa) sudah berjalan jauh daripada kawasan liputan CCTV.

“Saya cuba mencarinya pada malam tersebut tetapi tidak menemui apa-apa kerana gelap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Katanya, semalam sekali lagi dia mencari mangsa di sekitar premis kerana melihat kedudukan motosikal mangsa masih tidak berubah.

“Alangkah terkejutnya saya apabila menemuinya di dalam longkang yang penuh dengan semak samun di hadapan kedai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nor Rasid mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan.

Beliau berkata, mangsa ditemui dalam keadaan muka dan badan separuh terendam dalam air longkang serta dipercayai meninggal dunia sejak dua hari lalu.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
3 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment