May 9, 2016

Maut rempuh penghadang jalan

FOTO Shamsudin Husin

Shamsudin Husin
am@hmetto.com.my

Chukai: Pengawal keselamatan maut dan rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 141.4 Jalan Kuala Terengganu berhampiran Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, 11.02 malam tadi.

Mohd Hafizan Sidek, 19, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Nor Zazwani Atihirah Zainal, 15, patah kaki kanan serta luka di muka.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, Mohd Hafizan yang menunggang motosikal itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa dan pembonceng tercampak ke tengah jalan sebelum Mohd Hafizan yang parah di kepala menghembuskan nafas terakhirnya di lokasi," katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Ibok kemudiannya dituntut oleh ahli keluarganya selepas proses bedah siasat di Hospital Kemaman selesai 3 pagi.

myMetro 9 Mei 2016


Jaga maut, rakan parah dalam nahas

KEMAMAN – Seorang pengawal keselamatan maut manakala rakannya cedera parah apabila motosikal yang ditunggangi mereka dipercayai terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 141.4 Jalan Pintasan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Teluk Kalong, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.02 malam itu, Mohd Hafizan Sidek, 19, meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya yang berumur 15 tahun yang membonceng mengalami kecederaan parah setelah kedua-duanya tercampak ke atas jalan ketika motosikal menggelongsor.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, semasa kejadian berlaku Mohd Hafizan yang beralamat di Kampung Ibok dan rakannya yang menetap di Kampung Gelugor, Kerteh sedang dalam perjalanan dari arah Kerteh menuju ke Chukai.

“Dipercayai ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha 125zr yang ditunggang Mohd Hafizan hilang kawalan lalu merempuh besi pembahagi jalan menyebabkan motosikal itu menggelongsor ke depan.

“Mohd Hafizan yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala menghembuskan nafas akhir di lokasi kejadian sementara rakannya pula yang mengalami kecederaan patah kaki kanan dan luka di mulut, hidung dan kening segera dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk diberikan rawatan segera,” katanya semalam.

Mayat Mohd Hafizan yang bekerja di Syarikat Dialog Kerteh dan turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Kata Mohd Said, lokasi kejadian adalah jalan sehala satu lorong dan ketika kemalangan berlaku cuaca berkeadaan baik dan lalu lintas tidak sibuk.

Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati terdapat kesan gores di permukaan jalan kerana motosikal menggelongsor.

Katanya, hasil bedah siasat mengesahkan kematian mangsa berpunca dari kecederaan parah yang dialami pada bahagian kepala.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga pagi semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Wartawan Sinar Harian
10 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment