May 6, 2016

Mangsa lemas cari etak dijumpai di Sungai Pahang

Mangsa lemas dijumpai di Sungai Pahang

BERA - Lelaki yang dipercayai lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Guai semalam, berjaya ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Mohd Rashidi Mohd Isa berkata, mangsa, Ehsan Mat, 47 dijumpai pada jarak dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Saifuddin Ibrahim memberitahu, aktiviti mencari etak kerap dilakukan penduduk di sini sejak sungai itu cetek akibat El-Nino.

Katanya, orang luar juga datang ke sini untuk melakukan aktiviti yang sama.

"Bagaimanapun, orang sini sudah faham dengan keadaan sungai dan tahu samada kawasan itu ada pasir jerlus atau tidak.

"Jadi, saya harap, sesiapa dari luar kampung dan tidak arif dengan keadaan sungai yang mahu cari etak, kalau boleh dapatkan nasihat dari orang tempatan supaya kejadian seperti ini tidak berulang," katanya.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016


Lelaki dikhuatiri lemas ketika cari etak

AZIZAH SHAFIEI

BERA - Seorang lelaki yang berasal dari Taman Tualang, Temerloh dikhuatiri lemas di Sungai Pahang ketika sedang mencari etak bersama isterinya, di Kampung Guai, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Mohd Rashidi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.00, dan dipercayai kejadian itu berlaku sekitar jam 10.30 pagi.

Menurutnya, mangsa, Ehsan Mat, 47 turun ke sungai itu bersama isterinya, termasuk beberapa penduduk kampung yang turut mencari etak pada masa yang sama.

"Berdasarkan maklumat awal, difahamkan, mangsa sedang duduk di dalam sungai (yang cetek itu) sambil mencari etak, namun secara tiba-tiba tenggelam dan tidak timbul-timbul.

"Isteri mangsa yang bersama ketika itu tergamam melihat situasi itu, dan berharap suaminya timbul kerana suaminya itu pandai berenang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Seramai 12 anggota bomba, tiga anggota polis dan enam orang dari pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam) serta penduduk kampung sedang berusaha mencari mangsa.

Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment