May 21, 2016

Mangsa kencing tikus meninggal dunia

Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang penuntut sebuah kolej swasta di Mantin, Nilai, yang disahkan terkena jangkitan 'leptospirosis' atau kencing tikus ketika mandi di kawasan rekreasi Jeram Toi, Jelebu, 30 April lalu, meninggal dunia Khamis lalu.

Muhd Syazwan Ismail, 21, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan akibat demam berpanjangan.

Difahamkan, mangsa dikatakan bersama rakan mandi di kawasan rekreasi terbabit pada 30 April lalu sebelum demam.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa mula menerima rawatan di Hospital Tunku Ja'afar (HTJ) di sini, Selasa lalu.

"Namun disebabkan bakteria leptospira sudah merebak dalam tubuhnya, mangsa ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ sebelum meninggal dunia Khamis lalu.

"Selain mangsa, ada lima penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mandi di jeram terbabit pada 24 April lalu, turut mengalami jangkitan sama.

"Dua daripada mereka dirawat di ICU dan keadaan stabil serta sudah dipindahkan di wad biasa. Dua lagi mangsa masih menjalani ujian makmal untuk memastikan sama ada mereka turut terkena jangkitan kencing tikus atau tidak," katanya ketika dihubungi.

myMetro 15 Mei 2016


Jeram Toi ditutup

ANGGOTA Jabatan Perhutanan bersama pihak berkuasa tempatan membersihkan kawasan rekreasi Jeram Toi. FOTO ihsan Jabatan Hutan

NOTIS pemberitahuan berkenaan penutupan kawasan rekreasi Jeram Toi. FOTO ihsan Jabatan Hutan

Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my

Jelebu: Kawasan rekreasi Jeram Toi, di sini, ditutup kepada orang ramai semalam, selepas lima individu disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus atau Leptospirosis selepas berkelah di kawasan berkenaan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, semua mangsa disyaki terkena jangkitan itu selepas mandi di kawasan berkenaan pada 24 April lalu.

"Hasil pemeriksaan awal, tiga daripadanya disahkan mengalami leptospirosis manakala dua lagi mangsa masih menunggu keputusan makmal.

"Seorang mangsa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban dan dua masih menunggu keputusan ditempatkan di wad HTJ. Dua lagi mangsa menerima rawatan di Hospital Besar Melaka (HBM) masing-masing seorang di ICU dan wad biasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Salim Aman berkata, pihaknya sudah mengambil sampel air dan tanah untuk dianalisa serta memasang perangkap tikus sebagai langkah pencegahan.

"Jeram itu akan dibuka semula kepada umum selepas mendapati kawasan itu selamat dikunjungi," katanya.

myMetro 13 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment