May 5, 2016

Mangsa kemalangan maut selepas enam jam

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) membantu mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Yan: Lelaki terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Jenun di sini, petang semalam meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, selepas bertarung nyawa enam jam.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, dalam kejadian 6 petang itu, motosikal ditunggang mangsa, Muhamad Hafiz Zolkepli, 22, melanggar pintu belakang sisi sebelah kiri kereta yang hendak membelok masuk ke simpang kanan.

Katanya, pemandu kereta berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Batu 17 Alor Setar-Sungai Petani ke Taman Desa Aman.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu mangsa (Muhamad Hafiz) mengalami kecederaan di kepala dan dihantar ke Hospital Yan sebelum dipindahkan ke HSB.

“Bagaimanapun mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia 12 tengah malam tadi.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 2 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment